SEREMBAN: Mahkamah Sesyen Seremban hari ini menetapkan 20 September depan sebagai tarikh sebutan keputusan representasi dua bekas pengarah syarikat termasuk melibatkan seorang anak bekas menteri berkaitan kes penyelewengan minyak masak bersubsidi.
Hakim, Mazni Nawi menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan lain kerana masih lagi meneliti keputusan representasi yang telah difailkan oleh pihak peguambela salah seorang orang kena saman (OKS) iaitu Muhammad Faisal Hamzah, 39,.
Mahkamah turut mengambil kira permohonan peguam, Hasnan Hamzah yang mewakili seorang lagi OKS, Azizul Abdul Halim, 55, untuk diberikan sedikit masa untuk turut menfailkan representasi.
Pada prosiding hari ini, peguam mewakili Muhammad Faisal iaitu K. Indran turut memaklumkan telah menyerahkan keputusan representasi kepada pihak pendakwaan pada 30 Jun lalu.
Pihak pendakwaan dari Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini diwakili oleh pendakwa raya, Firdaus Roslan.
Muhammad Faisal pada 5 April lalu bersama kenalannya Azizul membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Berdasarkan pertuduhan sebelum ini, kedua-dua mereka yang pada ketika itu merupakan pengarah syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd., didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai runcit di sini.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri kira-kira pukul 5 petang pada 12 Ogos tahun 2022.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 22(4) Akta Kawalan Bekalan 1961 hendaklah disifatkan telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 8(4)(b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM 1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.
Sementara itu, Syarikat Rimba Merpati Sdn. Bhd. yang merupakan pemegang lesen borong barang kawalan berjadual iaitu minyak masak di mana kedua-duanya merupakan pengarah syarikat berkenaan juga didakwa memiliki barang kawalan berjadual tersebut melebihi had 50 metrik tan.
Mengikut Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ia merupakan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kesalahan dilakukan di premis syarikat berkenaan yang terletak di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang pada kira-kira pukul 11.15 malam pada 11 Ogos tahun lalu.
Syarikat berkenaan juga didapati memberikan maklumat palsu semasa mengemukakan maklumat berhubung dokumen/invois penjualan minyak masak kepada dua kedai dan kesalahan turut dilakukan pada 12 Ogos tahun lalu di Pejabat KPDN di Seremban 2 di sini.
Mahkamah pada ketika itu membenarkan jaminan keseluruhan sebanyak RM40,000 kepada kedua-dua tertuduh.-UTUSAN.