Sayang orang Kelantan kepada Pas ‘tebal’

Sayang orang Kelantan kepada Pas ‘tebal’

WALAUPUN dihimpit pelbagai isu termasuk isu ketiadaan air yang berlarutan sejak sekian lain, sokongan pengundi terhadap Pas di Kelantan masih tidak dapat digugat parti lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERASAAN sayang dan cinta rak­yat Kelantan terhadap Pas cukup ‘tebal’ apabila mereka memberikan kemenangan sehingga parti itu menyapu bersih 14 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.

Walaupun dihimpit pelbagai isu dan didakwa gagal sepanjang tempoh 33 tahun mentadbir Kelantan, sokongan terhadap Pas tetap utuh malah makin bertambah dengan kehadiran pengundi 18 tahun.

Malahan, pendedahan berkait kepincangan Pas Kelantan seolah-olah dilihat tidak ‘laku’ apabila rakyat lebih selesa memilih untuk ‘menelan’ input-input yang di­sampaikan oleh pemimpin kerajaan negeri Kelantan menerusi ceramah-ceramah umum.

SINIS

Uniknya politik Kelantan, rakyat dilihat lebih memilih parti berbanding batang tubuh sehingga ada kata-kata sinis ‘kalau letak kopiah guna logo Pas, nescaya kopiah itu akan menang’.

Situasi itu dapat dilihat sehingga hari ini apabila kata-kata bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang berbunyi “Bui pitih ambik, bui gula kacau, bui kain pakai, bui kertas undi pangkah bulan,” terus dijadikan sebagai bahan kempen.

Bagaimanapun, berpandukan kepada keputusan PRU15 lalu dan mengambil kira perkembangan suasana politik semasa, Pas dilihat mudah untuk menambah ‘jangka hayat’ pentadbiran parti pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Menambahkan lagi kekuatan parti itu apabila Tan Sri Annuar Musa membuat keputusan menyertai Pas sebagai wadah perjuangan politik selepas dipecat daripada UMNO.

Sejak menyertai Pas, Annuar yang juga Pengerusi Muafakat Nasional (MN) dilihat semakin ‘ligat’ menjelajah lima lagi ne­geri iaitu Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang dengan menjadi ‘tukang syarah’ kepada parti itu.

KEPINCANGAN

Peranan Annuar sebagai ‘tukang syarah’ yang mendedahkan kepincangan UMNO yang membentuk kerjasama dengan DAP menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional sedikit sebanyak berjaya mampu ‘memancing’ sokongan pengundi dan penyokong UMNO untuk bersama-sama Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN kali ini.

Melihat kepada senario itu, kesimpulan yang dapat dibuat gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) boleh ‘menyimpan’ dahulu hasrat untuk menawan Kelantan pada PRN kali ini kerana untuk menukar ‘doktrin’ rakyat kepada kerajaan baharu bukan mudah.

Bagaimanapun, impian BN-PH untuk menambah bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dilihat cerah jika strategi yang digunakan betul.

Keputusan PRU14 lalu me­nunjukkan kekuatan Pas dilihat ‘goyah’ bila jumlah undi BN dan PH dicampur dan harus diingat PRN kali ini hanya melibatkan dua penjuru sahaja.

Situasi itu memberikan sedikit kelebihan buat BN-PH, namun semua itu terpulang kepada 1.4 juta pengundi yang akan menjalankan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat di 45 kawasan DUN di seluruh negeri.

Ppakat pertahan atau ppkat tukar akan terjawab 12 Ogos ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN