Sangka 'slip disc', rupanya hidap kanser payudara

Sangka ‘slip disc’, rupanya hidap kanser payudara

NORSIDAH YUSUFF kini terlantar dan bergantung dengan mesin oksigen menerima kunjungan Islahuddin Abas dan Pertubuhan Amal Bakti Kebajikan Masyarakat Mersing serta wakil Baitulmal Mersing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Seorang wanita di Taman Guru, Air Merah dekat sini tidak menyangka sakit belakang yang sering dialaminya akibat ‘slip disc’ rupa-rupanya adalah petanda dia menghidap kanser payudara.

Anaknya, Hanis Fakhira Mohd. Amin, 23, berkata, ibunya, Norsidah Yusuff, 47, disahkan menghidap penyakit itu sejak setahun lalu dan kini sudah berada pada tahap empat serta keadaannya kini semakin lemah walaupun selepas menjalani rawatan di hospital sehingga menyebabkannya hanya terbaring sejak sebulan lalu.

“Awalnya ibu tidak tahu pun dia menghidap kanser payudara tetapi ada mengadu sakit belakang yang disangka slip disc. Selepas melakukan pemeriksaan doktor mengesahkan ibu menghidap penyakit kanser dan kini telah sampai tahap empat.

“Kansernya sudah merebak ke organ yang lain menyebabkan kesihatannya merosot selepas menjalani rawatan radioterapi di hospital. Keadaan itu menyebabkan beberapa lagi kitaran rawatan yang sepatutnya dilakukan terpaksa dihentikan sehingga keadaan ibu stabil.

“Ibu juga sekarang bergantung dengan mesin oksigen di rumah 24 jam. Keadaannya sekarang hanya terlantar dan hanya mampu minum susu khas melalui tiub selain memakai lampin pakai buang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu Norsidah menerima kunjungan Ahli Parlimen Mersing, Islahuddin Abas dan Pertubuhan Amal Bakti Kebajikan Masyarakat Mersing serta wakil Baitulmal Mersing.

Dalam lawatan itu Islahuddin menyerahkan sumbangan lampin pakai buang serta susu khas yang diperlukan ibu kepada empat orang anak itu.

Dalam pada itu, kakak iparnya, Rosni A Hamid, 60, berkata, selain sumbangan wakil rakyat, NGO, Baitulmal Mersing, Norsidah turut menerima bantuan sewaan tong oksigen daripada seorang ustaz yang dikenali sebagai Ustaz Tido yang telah dilunaskan untuk tempoh enam bulan.

“Setelah dapat tahu apa dialami Norsidah, kami adik beradik ada juga membantu mana yang mampu. Bila perlu bergantung dengan mesin oksigen sejak sebulan ini banyak kos diperlukan untuk sewaan dengan susu khasnya, lampin dan lain-lain.

“Dianggarkan kos untuk rawatannya sahaja mencecah RM3,000 sebulan. Suaminya bekerja, tetapi perlu juga tanggung anak yang masih belajar. Syukur bila ramai yang membantu, bila adanya bantuan daripada pelbagai pihak meringankan beban keluarga ini,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkan sumbangan ke dalam akaun Bank Islam Norsidah Yusuff bernombor 01096020268591.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN