PETALING JAYA: Tindakan saman menyaman dalam kalangan pemimpin baik kerajaan mahupun pembangkang mengundang pelbagai tanggapan termasuk terus mencetuskan ketegangan dalam iklim politik negara.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin memohon maaf dan membayar ganti rugi RM200 juta atas dakwaan fitnah berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.
Sebelum itu, Muhyiddin mengemukakan saman fitnah terhadap Anwar berhubung isu sama selepas Perdana Menteri didakwa gagal mengemukakan permohonan maaf dalam tempoh 24 jam seperti dituntut.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu turut berdepan saman fitnah daripada Anwar berhubung dakwaan beliau dibayar gaji RM15 juta sewaktu menjadi Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyifatkan, trend saman-menyaman itu dilihat bukannya untuk menegakkan keadilan tetapi dilihat seolah-olah bermotifkan politik semata-mata.
“Tindakan saman antara satu sama lain tidak akan menyelesaikan isu sebaliknya hanya akan memburukkan lagi keadaan,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Dalam pada itu, Anwar juga berhadapan saman daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menuntut ganti rugi RM150 juta berhubung kenyataannya mengenai membolot kekayaan buat diri sendiri dan ahli keluarganya.
Anwar turut menyaman Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa memfitnah beliau semasa berucap dalam ceramah pilihan raya.
FITNAH
Sanusi pula semalam mengumumkan akan menyaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berhubung dua kes fitnah iaitu membabitkan isu dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dan kecurian unsur nadir bumi (REE).
Sementara itu, Mohamed Haniff Khatri juga mempertikaikan sama ada saman yang dibuat tersebut semata-mata kerana politik atau untuk menuntut keadilan.
“Kalau asyik keluar kenyataan dan kemudian saman satu sama lain, tidak akan ada hentinya. Kesemua pihak perlu matang, cakap berpandukan fakta, jangan berpandukan kepada perkara yang tidak pasti.
“Jangan kerana ada kuasa, kamu boleh cakap apa yang kamu nak, sampai terperangkap dalam ketidakmatangan. Rakyat jemu apabila keadaan negara masih belum teratur tetapi pemimpin bertelagah di medan mahkamah, kita nak tengok pemimpin baik pulih dan bina negara, tapi ini kerja nak saman orang sahaja,” katanya.
Beliau juga menggesa semua pemimpin supaya tidak mempergunakan institusi kehakiman demi tujuan politik semata-mata.
“Tujuan mahkamah adalah untuk keadilan, bukannya tempat tunjukkan siapa betul dan siapa salah. Kalau ada kenyataan tidak betul, kemuka bukti dan dokumen sahaja, tidak perlu saman atau pergi ke mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berpandangan, individu termasuk pemimpin politik mempunyai hak di bawah undang-undang untuk memfailkan saman terhadap sesiapa sahaja yang didakwa memfitnah mereka sekiranya mempunyai bukti.
Menurut beliau, ini kerana objektif tersebut adalah untuk memperkukuhkan kredibiliti dan reputasi seseorang.
“Ia sama ada fitnah atau tidak. Kalau benar cakap benar dan kalau tidak benar, maka kena bayar ganti rugi yang perlu.
“Tetapi Majlis Peguam berpendirian sebarang saman di bawah Akta Hasutan tidak sepatutnya berlaku.
“Kita tidak ambil kira sama ada orang disaman itu daripada pihak pembangkang atau pihak kerajaan kerana akta hasutan adalah satu akta yang seharusnya dimansuhkan,” katanya. – UTUSAN










