Rumah percuma untuk golongan miskin, Johor peruntuk RM6.5 juta - Utusan Malaysia

Rumah percuma untuk golongan miskin, Johor peruntuk RM6.5 juta

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (kanan) menyampaikan sijil menduduki rumah kepada seorang pembeli sambil diperhatikan Dr. Suhailizan Suliman (kiri) pada Majlis Penutupan JPEX di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM6.5 juta bagi pembinaan 50 unit Rumah Kasih Johor (RKJ) yang menyasarkan  golongan miskin dan miskin tegar.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, inisiatif itu dimulakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kediaman itu diberikan secara percuma.

“Kerajaan negeri berharap bantuan kediaman bernilai RM100,000 kepada golongan miskin dan miskin tegar di bawah sistem e-Kasih dapat bantu mereka meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa dan berupaya meningkatkan taraf hidup mereka.

“Menerusi inisiatif ini, dianggarkan seramai lima penerima RKJ bagi setiap daerah di Johor dan inisiatif ini akan diperluaskan lagi pada masa depan. Sasaran seterusnya adalah untuk menyediakan 100 unit kediaman RKJ setiap tahun bagi membolehkan lebih ramai rakyat negeri ini termasuk dalam kalangan miskin dan miskin tegar untuk memiliki kediaman sendiri,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Ekspo Hartanah Johor (JPEX) 2023 di pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Datin Paduka Dr. Suhailizan Suliman.

Dalam majlis itu, Mohd. Jafni turut menyampaikan sijil RKJ dan J-Home One Stop Centre Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) Rumah Bandar Idaman Putra, Kulai.

Menurutnya, kerja-kerja siasatan tapak bagi kesemua 50 unit RKJ yang diluluskan telah dibuat, manakala projek pembinaan akan bermula dengan kerja meratakan tapak pada September ini.

Mengenai JPEX 2023, Mohd. Jafni memaklumkan ekspo empat hari yang berakhir hari ini telah merekodkan urus niaga sebanyak RM823.5 juta.

“Jumlah itu melibatkan pelbagai aspek urus niaga termasuk kediaman RMMJ bernilai RM160.6 juta, lot bumiputera dan lot antarabangsa (RM536.69 juta), pembiayaan bank (RM126.2 juta) dan jualan peniaga makanan (RM30,000).

“Jumlah kehadiran pengunjung juga melebihi sasaran, iaitu seramai 67,000 orang. Mereka bukan sahaja berpeluang membeli pelbagai jenis kediaman, malah lebih utama mendapat maklumat tentang aspek berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya