RTC Kelantan main peranan besar bantu usahawan, peniaga

RTC Kelantan bantu usahawan, peniaga

KENAIKAN harga barang keperluan harian dan kos sara hidup keseluruhan dikatakan boleh menjadi faktor penentu undian peringkat umur pertengahan dalam Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong di sini, berperanan cukup besar dalam membantu usahawan serta peniaga memasarkan pelbagai produk pertanian dan makanan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim berkata, RTC Kelantan merupakan pusat perkhidmatan pemasaran agromakanan setempat yang menunjukkan impak memberangsangkan sejak ia dilancarkan pada 2012.

Menurutnya, sejak 2012 sehingga tahun lalu, RTC Kelantan berjaya mencapai nilai jualan sebanyak RM3.1 bilion dengan bilangan pengunjung melebihi 31.4 juta orang.

“Manakala sasaran nilai jualan usahawan untuk tahun ini adalah sebanyak RM350 juta dan sehingga Mei tahun ini, sebanyak RM122 juta hasil jualan diperoleh.

“Kita yakin sasaran berkenaan dapat dicapai memandangkan RTC Kelantan menerima jumlah pengunjung yang ramai dan setakat ini seramai 659,700 pengunjung telah bertandang ke sini pada tahun ini,” katanya ketika ditemui di Pejabat Fama, di sini semalam.

Mengulas lanjut, Wan Faizatul Aniza berkata, kemampuan pengedaran bekalan setempat di RTC Kelantan adalah purata 10,000 metrik tan sebulan untuk sayur-sayuran dan 1,500 metrik tan sebulan bagi buah-buahan.

Katanya, sumber bekalan utama di RTC Kelantan membabitkan 70 peratus adalah bekalan tempatan manakala 30 peratus bekalan dari luar.

“Sehingga kini, kita mempunyai seramai 805 usahawan ditempatkan di lot niaga yang disediakan dan beroperasi setiap hari.

“Pada masa ini, komponen sedia ada terdiri daripada Blok Pentadbiran, Blok Peruncitan, Blok Pemborongan dan Blok Pelbagai, selain turut memiliki medan selera, tapak Florikultur, Pasarina dan Tapak Ekspo,” katanya.

Wan Faizatul Aniza berkata, RTC Kelantan sedang menaik taraf pusat pemborongan kuih yang bernilai RM200,000 dan pembinaan bilik sejuk serta stor penyimpanan barangan produk pertanian berjumlah RM2 juta.

“Ini adalah antara bantuan yang kita sediakan untuk membangunkan infrastruktur pemasaran, menyediakan ruang perniagaan, serta pemberian Geran Agropreneur Muda (GAM).

“RTC Kelantan turut menyediakan kemudahan penyewaan premis bagi penganjuran kursus, acara dan majlis-majlis, yang dilengkapi dengan kemudahan seperti parkir yang luas serta fasiliti yang kondusif iaitu dewan dan surau,” katanya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya