PRN: UMNO Johor hantar jentera ke Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor - Utusan Malaysia

PRN: UMNO Johor hantar jentera ke Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor

MOHAMED KHALED NORDIN (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di Ibu pejabat UMNO Johor, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Johor akan menggerakkan jentera bagi membantu kempen di Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak 20 bahagian di tiga negeri berkenaan telah dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan bagi memenangkan parti pada PRN tersebut.

“Sempena PRN, kesemua jentera bahagian di negeri ini akan membantu 11 bahagian Parlimen di Selangor, enam ke bahagian Parlimen di Negeri Sembilan, manakala tiga kawasan Parlimen di Terengganu.

“Pada PRN Johor tahun lalu, negeri-negeri lain datang membantu UMNO Johor. Kini, giliran UMNO Johor perlu turun padang membantu negeri berdepan PRN kerana ia merupakan perjuangan bersama,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Ibu pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN dalam masa terdekat ialah Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi turut memberitahu, jentera UMNO yang akan digerakkan itu ke bahagian Parlimen di tiga negeri itu membabitkan kerusi yang akan ditandingi calon Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, jentera parti itu akan turut membantu rakan dalam kerajaan perpaduan yang turut bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen yang sama.

“UMNO akan hantar jentera ke kawasan yang BN bertanding. Kehadiran jentera ke kawasan tersebut akan turut membantu calon daripada parti di bawah kerajaan perpaduan sekiranya bertanding di bawah Parlimen yang sama.

“Saya percaya, mereka juga akan membantu mempertahankan rakan yang sememangnya menerima UMNO dan BN,” katanya.

Ditanya mengenai pembahagian kerusi pada PRN kepada BN, Mohamed Khaled berkata, perkara itu adalah berasaskan formula yang dipersetujui semua kepimpinan parti dan segala perinciannya akan dimuktamadkan sebelum hari penamaan calon.

“Apa pun kita tunggu pengesahan terakhir antara ketua-ketua parti dalam kerajaan perpaduan, maknanya dia sah atau tidak, itu kita akan perincikan dan kita akan umumkan sebelum penamaan calon,” katanya.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, BN dijangka bertanding sebanyak 45 peratus daripada 245 kerusi DUN pada enam PRN, manakala baki selebihnya pula akan ditandingi Pakatan Harapan (PH). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya