Tragedi kereta rosak dirempuh lori, seorang maut dua parah - Utusan Malaysia

Tragedi kereta rosak dirempuh lori, seorang maut dua parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NILAI: Malang tidak berbau buat dua beradik apabila salah seorang daripadanya maut selepas kereta mereka yang rosak dirempuh lori di Kilometer (KM) 284.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 9 pagi itu, kakak si mati bersama seorang penunggang motosikal yang mahu membantu mengalihkan kereta itu mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika kereta Perodua Axia dipandu wanita berusia 32 tahun dalam perjalanan dari Melaka menghala ke Perak.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Axia itu dikatakan rosak dan berhenti di lorong kedua dari kiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Seorang lelaki berusia 22 tahun yang menunggang motosikal cuba memberi pertolongan untuk mengalihkan kenderaan.

“Tidak lama kemudian, sebuah lori dipandu lelaki berusia 24 tahun sampai di lokasi dan dikatakan tidak perasaan kereta dan penunggang motosikal berkenaan.

“Lori berkenaan dipercayai melanggar bahagian belakang Perodua Axia dan penunggang motosikal yang sedang memberikan bantuan,” katanya.

Johari berkata, pemandu Perodua Axia parah di bahagian kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di tempat kejadian.

“Penumpang Perodua Axia, wanita berusia 39 tahun serta penunggang motosikal parah dan kedua-duanya menerima rawatan di zon merah Hospital Tuanku Jaafar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×