KUALA LUMPUR: Enam pilihan raya negeri (PRN) akan menjadi penentu sama ada MCA dan MIC meneruskan kerjasama dengan UMNO atau sebaliknya.
Jangkaan itu akan dibuat sekiranya UMNO tidak memberi sebarang kerusi kepada dua parti komponen berkenaan, malah ditambah pula jika parti terbesar orang Melayu itu tidak menang besar pada PRN nanti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali mendakwa, ketetapan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada PRN kali ini dilihat sebagai protes secara halus agar UMNO berusaha untuk memberikan mereka kerusi di enam negeri berkenaan.
“Itu isyarat MIC, MCA beritahu pada UMNO supaya beri kerusi kepada mereka, itu cara orang politik bercakap, sebenarnya mereka nak bertanding. Sebab itu Presiden UMNO ada buat kenyataan untuk membincangkan ketetapan MCA dan MIC itu pada 10 Julai ini.
“Saya fikir UMNO kini sedang berusaha untuk memberikan MCA dan MIC untuk bertanding pada PRN kali ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mazlan dalam masa yang sama turut berpendapat UMNO kini sedang keliru dengan kerusi yang terhad untuk dibahagikan antara MCA dan DAP berikutan pengundinya sama kaum Cina.
“Takkan nak MCA lawan DAP sedangkan kedua-duanya dalam Kerajaan Perpaduan? Kaum Cina sekarang majoriti sokong DAP, jadi MCA nak bertanding di mana,” soalnya.
Seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr. Sivamurugan Pandian ketika dihubungi berkata, UMNO perlu memainkan peranan untuk ‘memujuk’ dua parti komponen ini bagi menunjukkan nilai perkongsian dalam Barisan Nasional (BN) dengan disokong kuat oleh jentera PH, khususnya DAP.
“Tiada alasan MCA dan MIC tidak mahu bertanding, BN perlu memujuk satu dua kerusi diberikan kepada mereka supaya tidak nampak UMNO sahaja bertanding di enam negeri itu. Ia perlu untuk menampakkan seolah-olah nilai kemuafakatan itu ada, itulah elemen sebenar dalam BN iaitu perkongsian.
“Bila agihan kerusi dibuat, mungkin ada kawasan yang DAP merasakan lebih layak untuk menang di kawasan tersebut. Tetapi, apabila diberikan kepada MCA, dibantu pula dengan jentera DAP, inilah bentuk muafakat dalam Kerajaan Perpaduan. Jika DAP sahaja bertanding, maka ia boleh jadi bahan kempen yang wujud tiada kepercayaan terhadap MCA,” ujarnya.
Dalam aspek lain pula, penganalisis politik, Mujibu Abd Muis turut berkata, undi protes mungkin akan berlaku jika tiada calon daripada wakil MCA dan MIC, sekali gus perkara ini akan mewujudkan bibit perpecahan dalam kalangan BN itu sendiri.
“Kalau dari segi keseluruhan PRN, kita mungkin akan katakan ketidakmampuan MCA dan MIC untuk bertanding di negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu, apatah lagi Pulau Pinang yang kuat pada DAP. Tetapi kesan ini akan dilihat pada keutuhan BN itu sendiri. Akan ada undi protes yang berkemungkinan sokong pada parti lain atau boleh jadi pengundi tidak akan keluar rumah untuk mengundi,” katanya. – UTUSAN










