Polis tumpas Geng Lekir, sasar samun warga asing - Utusan Malaysia

Polis tumpas Geng Lekir, sasar samun warga asing

WAN MOHD. ZAHARI Wan Busu (dua, kanan) menunjukkan dua kenderaan dirampas iaitu Proton Waja warna kelabu milik suspek dan Proton Satria Neo warna merah milik isteri suspek. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menumpaskan geng samun berkawan dikenali ‘Geng Lekir’ yang dipercayai bergerak aktif sekitar Gebeng dan bandaraya ini selepas menahan dua individu, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek menjadikan warga asing yang berjalan berseorangan sebagai sasaran untuk melakukan samun.

Menurutnya, hasil tangakapan tersebut, polis berjaya menyelesaikan tiga laporan berkaitan kejadian samun yang diterima sejak 19 Julai lalu.

“Pihak polis mendapati kes samun adalah membabitkan seorang warga Myanmar dan dua warga Bangladesh yang mengalami kerugian mencecah RM5,000 yang mana suspek telah melarikan telefon bimbit, dokumen dan wang tunai milik mangsa.

“Hasil daripada maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota Unit Risikan Jenayah (URJ) dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan telah membuat dua serbuan. Serbuan pertama pada 21 Julai lalu di sebuah rumah di alamat Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang dan berjaya menahan seorang lelaki Melayu.

“Pada 24 Julai, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Kampung Seri Damai, Jalan Kuantan-Gambang dan menahan seorang lagi lelaki Melayu yang merupakan rakan sejenayah suspek pertama,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Mohd. Zahari berkata, hasil siasatan ke atas kedua-dua suspek berusia 39 dan 31 tahun itu, mereka berasal dari Kelantan dan Terengganu serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

Jelasnya lagi, hasil pemeriksaan di rumah pertama, terdapat dua buah motokar iaitu Proton Waja warna kelabu milik suspek dan Proton Satria Neo warna merah milik isteri suspek.

“Ketika serbuan polis mendapati dalam motokar milik suspek itu telah menemukan dua bilah pisau, sebuah beg silang jenama Levis dan sebuah beg pinggang jenama Coach.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama positif Bezon manakala suspek kedua negatif ujian air kencing.

“Suspek pertama juga didapati mempunyai empat rekod jenayah lampau berkait jenayah dan narkotik manakala suspek kedua tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Sementara itu, tambah beliau, kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Pencegahan Jenayah (KPJ) sehingga 28 Julai ini untuk siasatan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya