SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) perlu menukar strategi yang hanya menumpukan kepada naratif Melayu dan Islam sekiranya gabungan itu berhasrat untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan.
Pensyarah Kanan Sains Politik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, sebaliknya PN perlu ‘menjual’ isu-isu ekonomi, peluang pekerjaan, isu penjaja-penjaja kecil yang lebih dekat dalam kalangan pengundi bagi konteks Negeri Sembilan.
“PN memang tiada lain mereka masih menggunakan naratif Melayu Islam, terutamanya di Negeri Sembilan ini ada isu-isu Felda dan ia banyak dimainkan walhal jika diperhatikan negeri ini tidak terjejas dengan gelombang Melayu Islam pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Saya rasa barangkali naratif ini harus ditukar memandangkan Negeri Sembilan merupakan sebuah negeri yang dikelilingi dengan kawasan-kawasan industri, isu seperti penjaja kecil, ekonomi, peluang pekerjaan dan membesarkan saiz ekonomi Negeri Sembilan, itu yang perlu dibawa tetapi PN tidak ‘menjual’ ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Sebaliknya kata beliau, lawan PN iaitu Pakatan Harapan (PH) jelas mengetengahkan pencapaian dan kejayaan kerajaan negeri sepanjang tempoh lima tahun mereka mentadbir negeri ini.
“Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun baru-baru ini mengeluarkan pencapaian PH untuk Negeri Sembilan dan naratif yang baik,” katanya lagi.
Sementara itu, Mujibu berpandangan, gabungan PH-BN dijangka akan menguasai kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN ini.
“Di atas kertas nampak Negeri Sembilan ini masih boleh dikuasai oleh PH-BN memandangkan di negeri ini ada tiga tokoh yang begitu dominan dalam parti masing-masing iaitu Datuk Seri Aminuddin untuk PKR, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk UMNO dan Anthony Loke Siew Fook untuk DAP.
“Sekiranya rundingan kerusi antara PH dan BN selesai tidak lama lagi maka saya nampak gabungan ini akan lawan PN dan ukuran kekuatan antara kedua-duanya, gabungan PH dan BN mempunyai banyak kelebihan berbanding PN,” katanya.-UTUSAN










