Pindaan kewarganegaraan: KPWKM ambil perhatian kegusaran NGO - Utusan Malaysia

Pindaan kewarganegaraan: KPWKM ambil perhatian kegusaran NGO

NANCY Shukri (tengah) pada Majlis Perasmian Program Persidangan PPDK Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di Seremban hari ini.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan bertindak sebagai orang tengah bagi memastikan kanak-kanak terpinggir atau terbuang mendapat perlindungan sewajarnya melalui cadangan pindaan kewarganegaraan yang dikemukakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sebagai kementerian yang bertanggungjawab menjaga kebajikan kanak-kanak beliau mengambil maklum akan kegusaran yang disuarakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Nancy, pertemuan akan diadakan antara pihak NGO dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat bagi membincangkan kesan cadangan pindaan tersebut.

“Saya telah bercakap dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini memandangkan saya banyak menerima respon daripada pihak NGO yang minta membantu dalam hal kebajikan kanak-kanak ini.

“Saifuddin amat responsif dan apabila mendengar maklum balas NGO, beliau menyatakan KDN akan mengadakan ‘engagement’ (libat urus) dengan NGO tertentu di negara ini dalam masa terdekat (bagi membincangkan semula pindaan),” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Peringkat Kebangsaan 2023 di sini hari ini.

Perbincangan itu mengenai cadangan KDN yang didakwa akan memansuhkan peruntukan Seksyen 1(e) dalam Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan berkenaan Perkara 14(1)(b).

Seksyen itu menyatakan setiap orang yang lahir di Persekutuan dan pada masa dia lahir tidak menjadi warganegara mana-mana negara selain menurut kuasa perenggan tersebut.

Jelas Nancy, pada masa sama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengemukakan cadangan tersebut kepada Majlis Raja-Raja dan diharapkan kebajikan kanak-kanak terpinggir atau terbuang mendapat pembelaan sewajarnya.

“Kita masih ada masa..saya harap ada perkembangan baharu melalui sesi perjumpaan itu. Saya mahukan yang terbaik  bagi melindungi kanak-kanak ini,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata, sehingga April 2023 terdapat 564 buah PPDK di seluruh Malaysia yang memberi manfaat kepada 18,760 orang kurang upaya (OKU) dan 5,144 penyelaras dan petugas.

“KPWKM yakin dengan kewujudan PPDK di seluruh negara akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang sistematik, tersusun dan terancang dalam menjaga pemulihan, keselamatan dan pembangunan OKU.

“Sehingga 31 Mei 2023, sejumlah 654,270 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pendaftaran ini tertakluk kepada Akta OKU 2008 (Akta 685) dan dilakukan secara sukarela atas tanggungjawab sosial,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN