PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar merit permohonan semakan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Ab. Samad berhubung keputusan yang mengarahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan suami isteri itu membela diri sebelum ini ditolak oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid selepas beliau membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail sebulat suara menghantar semula permohonan semakan itu ke Mahkamah Tinggi bagi membolehkan meritnya didengar dan diputuskan.
Bagaimanapun, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin tidak menetapkan sama ada permohonan itu didengar oleh hakim yang sama atau hakim berlainan.
Panel itu menyerahkan kepada pihak-pihak yang berkenaan (bagi menentukan hakim mana yang akan mendengarnya) dan menetapkan 14 Julai ini untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ketika mengumumkan keputusannya, Hakim Hadhariah membacakan Seksyen 35(1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang menyatakan Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa menyemak keputusan mahkamah rendah pada mana-mana peringkat jika terdapat keperluan sama ada melalui notis usul atau memanggil rekod prosiding mahkamah berkenaan.
Panel itu berpuas hati, semakan boleh dilakukan melalui usul mahkamah itu sendiri selepas meneliti laporan akhbar atau jika terdapat mana-mana pihak yang berminat dengan prosiding itu, memfailkan permohonan semakan.
Pada hemat beliau, dalam kes Bung Moktar dan Zizie Izzette, permohonan semakan difailkan oleh pasukan peguamnya pada peringkat kes prima facie.
“Menjadi tugas Mahkamah Tinggi untuk menimbang meritnya. Namun, dalam hal ini, permohonan itu dibatalkan tanpa meritnya didengar selepas membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan yang menyatakan permohonan difailkan menggunakan mod yang salah,” ujarnya.
Terdahulu, panel itu mendengar bantahan pihak pendakwaan terhadap rayuan Bung Moktar dan isteri berhubung keputusan yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah.
Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How berhujah, bantahan dibuat atas alasan keputusan Mahkamah Tinggi bukan suatu keputusan yang boleh dirayu mengikut Seksyen 3 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Hujah beliau, perayu-perayu gagal memenuhi Seksyen 3 kerana keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak termasuk di bawah kategori yang boleh dirayu kerana ia tidak melupuskan hak pihak-pihak berkaitan.
Chin How menyatakan, keputusan yang disemak itu adalah berkaitan kes prima facie di mana perbicaraan masih belum selesai dan kedua-dua tertuduh diarah membela diri.
Pada peringkat itu, Hakim Hadhariah mencelah dengan menyatakan: Maknanya kes ini `masih belum cukup masak’ (half-baked case).
Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon bantahan tersebut dibenarkan kerana kes tersebut masih belum ada pengakhirannya.
Sementara itu, peguam M. Athimulan yang berhujah mewakili Bung Mokhtar memohon mereka diberi peluang berhujah di Mahkamah Tinggi berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam permohonan semakan.
Bung Moktar dan isterinya merayu keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Disember 2022 yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan itu.
Bung Moktar dan Zizie Izette dijadualkan mula membela diri atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Rozina Ayob pada 10 Julai ini.
Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada Madhi Abdul Hamid melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.
Bung Moktar juga didakwa menerima suapan RM335,500 daripada Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.-UTUSAN