SHAH ALAM: Pakatan Harapan (PH) Selangor yakin dapat mengekalkan pemerintahan kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga sekiranya 30 peratus pengundi putih UMNO mengundi gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Setakat semalam, PH sudah pun mempunyai 33 kerusi selamat untuk membolehkannya mengekalkan kedudukan di Selangor dan tambahan tujuh kerusi daripada UMNO bagi menjadikan gabungan itu memiliki kekuatan melebihi dua pertiga.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, situasi itu diyakini akan berlaku pada PRN di negeri ini berdasarkan penelitiannya yang mendapati 60 peratus pengundi terutama Melayu menyokong perancangan kerajaan negeri (PH).
“Ya, bila 60 peratus mereka percaya kerajaan negeri sekarang berada dalam landasan, memang bermakna sebelah kaki mereka sudah bersedia menyokong PH dan ini akan memberikan sedikit kelebihan kepada kita berdepan dengan PRN.
“Cuma kerja keras pasukan kitalah yang akan menentukannya dan juga pastikan komunikasi kita sampai. Saya yakin mereka tetap setia dengan PH dalam PRN nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Beliau menjelaskan, dengan sokongan 30 peratus pengundi putih UMNO, gabungan PH-BN dapat memastikan penguasaan antara 25 hingga 33 kerusi.
“Yang boleh dikatakan selesa antara 25 hingga 33. Saya yakin, itu saja kita dah boleh buat majoriti mudah. Dalam senario apa pun, saya lihat sokongan asas Melayu yang tinggi termasuk kepercayaan masyarakat lain, peniaga, golongan wanita, anak muda dan sebagainya,” ujarnya.
Sementara itu, laporan kajian diterbitkan Institut Yusof Ishak mengunjurkan 85 peratus penyokong BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menyokong Perikatan Nasional (PN) dalam PRN nanti.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor bagaimanapun tidak menolak sebarang kemungkinan boleh berlaku pada PRN apabila merujuk kepada sokongan 54 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperoleh BN di negeri ini sebelum 2008.
“BN mempunyai majoriti yang sangat besar, mereka ada 54 versus two dan akhirnya tumbang (pada 2008). Tetapi alhamdulillah, kita tidak ada isu besar yang ada penyapu, bantahan kuil, keadaan huru-hara atau ekonomi yang tidak baik.
“Selangor menunjukkan prestasi ekonomi yang bagus ramai yang dapat pekerjaan, malahan bila kita buat Program Jom Kerja baru-baru ini data daripada Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso) menunjukkan hanya 2.6 peratus kadar pengangguran kita, maksudnya full force,” jelasnya. – UTUSAN










