SEPANG: Barisan Nasional (BN) dilihat mampu menang bergaya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil pada pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini berikutan prestasi buruk bekas wakil rakyat kawasan itu yang dianggap sebagai wakil rakyat ‘pelancong’.
Perkara ini turut dirasai oleh calon parti berkenaan, Noorazli Said yang juga Ketua UMNO Bahagian Sepang ketika ditemui di Markas Gerakan BN di Dataran Sadiman dekat sini.
“Cukuplah sudah calon ‘pelancong’ pilihan raya malah rakyat kecewa lihat prestasi wakil sebelum ini apabila banyak program setempat pun tidak hadir,” katanya.
Kerusi itu dipegang oleh wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Adhif Syan Abdullah yang menumbangkan BN dan Pas semasa Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018 lalu.
BERALIH
Ketika itu, beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 6,934 undi namun kemudian beralih kepada blok Perikatan Nasional (PN) pada 2020.
Secara tradisi, Dengkil merupakan kerusi tradisi BN sejak dibentuk semasa PRU pertama pada 1959 disandang Datuk Seri Abu Bakar Baginda yang juga Menteri Besar Selangor.
Kawasan luar bandar ini pernah berubah kepada calon MIC ketika PRU keenam pada 1982 lalu sebelum dipindahkan balik kepada UMNO semasa PRU kesembilan pada 1995.
Mengulas lanjut, Noorazli yang memimpin UMNO Bahagian Sepang sejak 2018 berkata, rakyat sudah memberi peluang kepada wakil Bersatu namun tiada kemajuan telah dirasai.
“Antaranya semasa berlaku bencana alam seperti banjir dan ribut apabila kelibat wakil PN itu langsung tiada berbanding jentera BN aktif turun padang menyantuni rakyat,” jelasnya.
Ditanya mengenai prospek di kerusi itu, beliau yang menceburi politik sejak 2013 berkata, peluang BN kali ini tampak baik malah dijangka mampu melakarkan majoriti lebih selesa.
Ini termasuk kerjasama erat dengan PH sendiri yang menunjukkan komitmen tinggi bagi membantu kemenangan BN sejurus kerusi itu disahkan rasmi akan ditandingi oleh Noorazli.
Bahkan beliau gembira, hubungan dengan semua jentera pelbagai parti dalam Kerajaan Perpaduan amat positif dan lebih teratur berbanding ketika PRU ke-15 pada tahun lepas.
Beliau juga difahamkan ‘akar umbi’ semua parti komponen mula memahami tujuan BN menyertai pembentukan kerajaan pusat dan melupakan kisah permusuhan lama mereka. – UTUSAN










