MIC mahu perkuat sokongan dahulu - Raven Kumar - Utusan Malaysia

MIC mahu perkuat sokongan dahulu – Raven Kumar

K. RAVEN KUMAR (dua dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan United Global Compact Malaysia & Brunei di Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Keputusan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini memberi ruang kepada MIC untuk memperkuatkan sokongan terhadap parti itu terlebih dahulu.

Ketua Pemuda MIC, K. Raven Kumar berkata, rakyat kini cakna tentang perkembangan politik semasa dan sudah bijak menilai parti yang benar-benar bekerja untuk rakyat dan sebaliknya.

“Tidak timbul isu parti merasakan sekiranya menawarkan diri untuk bertanding, kebarangkalian untuk menang adalah tipis. Itu bukanlah sebabnya kita mẹmbuat keputusan untuk tidak bertanding. Kerjasama (Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan) ini masih baru lagi. Jadi, buat masa ini adalah lebih baik untuk kita memperkuatkan parti dahulu.

“Walaupun MIC tidak bertanding pada PRN membabitkan enam negeri nanti, kita tetap akan turun membantu berkempen bagi memenangkan parti bersama gabungan  PH,” katanya ketika ditanya persediaan MIC untuk membantu kempen gabungan BN-PH pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah, 12 Ogos depan.

Raven Kumar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri ditemui selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan United Global Compact Malaysia & Brunei di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini hari ini.

MoU itu ditandatangani oleh Pengurus Besar Persada Johor  David Emir Bareng dan Pengarah Negeri Johor bagi United Global Compact Malaysia dan Brunei, Edey Suresh.

Raven berkata, MIC yang mendukung kerjasama itu akan tetap menuruti keputusan yang dibuat oleh BN demi kesejahteraan dan kestabilan.

“Fokus kita untuk mengukuhkan parti dan memberi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Pada PRU15 yang lalu, kita berasakan sokongan yang diterima sudah cukup kuat, namun akhirnya kita tidak berupaya untuk membentuk kerajaan tanpa bentuk gabungan,” katanya. 

Raven turut menyangkal dakwaan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi gagal membawa kepentingan MCA dan MIC dalam rundingan bersama PH.

Ditanya tentang keputusan parti komponen, MIC dan MCA tidak bertanding akan memberi kesan kepada survival BN, beliau berkata, ia bergantung keputusan PRN di enam negeri itu nanti.

“Mungkin ada atau mungkin juga tidak, namun ia hanya dapat dilihat selepas keputusan PRN di enam negeri diperoleh. Apa-apa pun, kita perlu terus berkhidmat kepada rakyat yang sudah bijak untuk menilai siapa yang buat kerja atau siapa yang hanya pandai cakap politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya