PORT DICKSON: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang semalam selepas menjaring ikan bersama tiga rakannya ditemukan terapung berdekatan Pulau Arang pagi ini.
Mangsa, Md. Amran Othman, 35, berasal dari Parit Raja, Johor dipercayai lemas selepas kakinya tersangkut lumpur sebelum air pasang sehingga menyebabkan dia hilang dihanyutkan, petang semalam.
Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba 2, Jelani Ahad berkata, pasukan penyelamat menemukan mayat mangsa dalam keadaan berseluar pendek dan berbaju biru gelap.
“Mangsa yang merupakan pekerja subkontraktor di sebuah syarikat kilang penapis minyak di Port Dickson baru sebulan ditugaskan ke sini. Mangsa dipercayai bersama tiga lagi rakannya menjaring ikan di Pantai Batu 1 semalam.
“Pasukan penyelamat menjumpai mangsa tidak sampai kurang satu kilometer dari lokasi mangsa hilang di Pulau Arang berhampiran PD Waterfront, ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Pantai Batu 1 hari ini.
Semalam, Utusan Online melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai Batu 1, di sini. -UTUSAN










