KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sedia mengkaji dan melihat kesesuaian tanah di kawasan perkampungan Orang Asli di Gua Musang dekat sini sebelum mengambil langkah memperkenalkan tanaman tersebut kepada masyarakat berkenaan.
Pengerusinya, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, beliau sendiri akan turun padang dan bertemu dengan masyarakat berkenaan termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) pada September ini bagi membincangkan perkara tersebut.
“Bertitik-tolak dari situlah, kita (LKTN) akan melihat kawasan dan tekstur tanah sama ada sesuai atau tidak untuk tanaman kenaf disamping membuat kajian.
“Selain tanah yang sesuai, tahap kecuraman kawasan perlu diambil kira iaitu 12 peratus ke bawah,” katanya pada sidang akhbar di majlis Program Bicara Kenaf di Jalan Kebun Sultan, di sini hari ini.
Wan Abdul Rahim memberitahu, kenaf merupakan tanaman yang mudah dengan hanya meletakkan baja dan selepas itu akan mendapat hasilnya.
Katanya, tamanan itu dilihat cukup sesuai dengan budaya masyarakat Orang Asli.
Dalam perkembangan lain, Wan Abdul Rahim berkata, penanaman semula kenaf selepas musim kemarau di Kelantan dan Terengganu sudah bermula.
“Alhamdulillah dengan cuaca yang agak baik pada masa ini akan meningkatkan hasil pengeluaran tanaman itu selepas ini,” katanya.-UTUSAN










