Laporan kejadian kepala air siap dalam masa terdekat

Laporan kejadian kepala air siap dalam masa terdekat

NIK Nazmi Nik Ahmad (kiri) memeriksa sistem saliran di Taman Wadi Iman semasa Lawatan Kerja ke Projek Membina dan Menaiktaraf Sistem Saliran Bagi Mengatasi Masalah Banjir Di Taman Wadi Iman, Kok lanas, Kota Bharu, Kelantan hari ini.-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Laporan awal mengenai kejadian kepala air melibatkan 10 sekeluarga di Jeram Mawar, Air Puteh dekat Chukai, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sudah melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian selain polis turut menjalankan siasatan berkaitan insiden itu.

“Jadi, kita tunggu laporan tinjauan awal JMG dan siasatan polis disiapkan terlebih dahulu  sebelum memberikan sebarang penjelasan spesifik berkenaan perkara tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Lawatan Kerja Ke Projek Menaiktaraf Sistem Saliran di Taman Wadi Iman di Ketereh, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Setiawangsa memberitahu, sebarang langkah kerajaan termasuk langkah pemasangan penggera di lokasi-lokasi kejadian kepala air juga akan hanya dibuat selepas selesai siasatan dan laporan berkaitan kejadian itu.

Katanya, orang-ramai turut diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali menjalankan aktiviti di kawasan-kawasan rekreasi.

“Aspek keselamatan perlu sentiasa menjadi keutamaan oleh semua pihak ketika menjalani aktiviti di kawasan-kawasan rekreasi bersama keluarga atau rakan-rakan.

“Pihak berkuasa juga banyak mengeluarkan peringatan dan sebagainya. Jadi, ikutilah ia bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau kecelakaan,” ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, hasrat 10 sekeluarga untuk berkelah bertukar tragedi apabila mereka dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dua daripada mayat mangsa ditemukan sementara lapan lagi mangsa dipercayai masih hilang.

Menurutnya, kesemua mangsa terlibat berusia empat hingga 40 tahun dan mereka dikatakan memasuki kawasan tersebut untuk berkelah semalam.

Katanya, mayat pertama iaitu seorang wanita berusia lingkungan 40-an ditemui kira-kira pukul 12.45 tengah hari manakala mayat kedua iaitu seorang lelaki berusia 20-an ditemukan kira-kira pukul 5 petang di lokasi berasingan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN