Kurang Hakim Mahkamah Sesyen faktor kes jenayah seksual kanak-kanak lambat selesai - Utusan Malaysia

Kurang Hakim Mahkamah Sesyen faktor kes jenayah seksual kanak-kanak lambat selesai

AZALINA Othman Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Faktor kekurangan Hakim Mahkamah Sesyen di negara ini menjadi antara punca banyak kes jenayah seksual kanak-kanak tidak dapat diselesaikan segera.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ini berikutan Hakim Mahkamah Sesyen sedia ada perlu menyelesaikan pelbagai kes-kes lain dan bukan hanya melibatkan kes kanak-kanak.

“Berdasarkan kajian setakat hari ini terdapat sebanyak 6,791 kes penganiayaan jenayah seksual kanak-kanak di seluruh negara dengan kes tertinggi di Kelantan 1,097 kes.

“Harapan kita kes jenayah seksual kanak-kanak ini dapat diselesaikan dalam masa 12 bulan, tetapi cabaran atau isunya kadang-kala kes ini tidak dapat diteruskan kerana mangsa menarik balik kes dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.

Menurut Azalina, pihak mahkamah juga berdepan cabaran untuk menyelesaikan kes-kes kanak-kanak disebabkan faktor saksi, penyediaan laporan pakar dan permohonan penangguhan oleh peguam.

“Setakat ini, secara keseluruhan kadar pelupusan kes jenayah seksual kanak-kanak adalah 72.6 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk mewujudkan Mahkamah Bergerak di seluruh negara bagi memastikan kes sedemikian didengar dan diselesaikan dengan cepat.

Tambah beliau, kerajaan juga telah memperuntukkan RM5 juta untuk menaiktaraf 40 buah Mahkamah Sesyen untuk kemudahan fasiliti yang lebih canggih berkaitan kes jenayah seksual kanak-kanak seperti bilik saksi yang kondusif, alat bantu beri keterangan dan patung anatomi.

AZALINA Othman Said ketika mengadakan lawatan ke Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-Kanak di Kompleks Mahkamah Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Dalam pada itu, Azalina memberitahu rang undang-undang khusus untuk Suruhanjaya Kanak-Kanak di negara ini akan dibentangkan di Parlimen pada bulan Oktober depan.

Azalina berkata, ini bagi memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan dan sosial mendapat keadilan sewajarnya.

“Kertas kerja ini telah sedia ada dan kita akan bawa ke kabinet dalam masa terdekat dengan harapan kelulusan dari segi dasar dan kewujudan rang undang-undang tersebut.

“Saya harap sesi parlimen Kerajaan Madani dapat membawa inisiatif dan mewujudkan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas,” katanya.

Beliau berkata, Suruhanjaya Kanak-Kanak yang akan diwujudkan di negara ini perlu bersifat bebas dan tidak lagi diletakkan di bawah kementerian atau agensi kerajaan termasuk di bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Dengan adanya Suruhanjaya Kanak-Kanak yang bebas ia dapat membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menyelesaikan kes mahkamah jenayah seksual kanak-kanak,” katanya lagi- UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya