Dear You: Menanti, berharap cinta yang hilang - Utusan Malaysia

Dear You: Menanti, berharap cinta yang hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKU teks dan jurnal akademik hanya mencatat sebab-akibat, fakta kejadian di masa silam. Tapi sebuah filem akan membawa kita larut ke dalam, melihat wajah orang yang menanggung kesan daripada sebab-akibat yang diputuskan di suatu zaman.

Dear You arahan Lan Hongchun yang saya sangka sebuah kisah cinta tragis melorekkan luka lebih ganas apabila menceritakan sebuah diaspora masyarakat Chaoshan pada era 1940-an.

Banyak lelaki meninggalkan rumah, isteri, anak demi mencari kerja lebih stabil memandangkan situasi ekonomi di China makin goyah impak perang dan reformasi tanah. Hanya berbekalkan kudrat tulang empat kerat, kaum laki-laki berlayar ke negara-negara Asia Tenggara termasuklah Tanah Melayu bagi mencari kerja walaupun pekerjaan itu adalah membina rel jalan kereta api.

Isteri di rumah menjaga anak sendirian, setiap hari menanggung rindu, menunggu surat utusan suami. Itulah yang dihadapi Shurou ketika suaminya, Zheng Musheng, tidak pulang-pulang. Dia juga berhenti menulis surat, tidak lagi bertanya khabar anak dan isteri. Seumur hidup Shurou menyangka suaminya sudah berkahwin lain dan hidup bahagia di Thailand.

Sejujurnya, saya hampir menganggap filem ini naskhah yang membosankan ketika ia dibuka disebabkan beberapa kesan humornya tidak menarik perhatian saya. Selain itu saya cepat sangat mencurigai kalau-kalau ini akan jadi satu lagi filem menunjukkan sisi bodoh laki-laki dan siri kecurangan mereka.

Namun, selepas adegan jungkir balik era 40-an bermula, saya seperti berada di filem yang lain. Jenaka-jenaka berubah sebuah drama yang semakin lama, semakin rencam, semakin menghancur lumatkan perasaan hingga saya menangis teresak di bangku penonton.

Dear You, membawa di depan muka episod kejahatan yang terpaksa ditelan (juga dilawan) oleh masyarakat Chaoshan sepanjang mereka berhijrah. Terpaksa tinggal di rumah tumpangan, bekerja apa sahaja yang ada termasuklah sebagai penarik beca atau tukang jual kuih. Keluarga di China tidak perlu tahu susahnya menjadi ketua keluarga walau wang Zheng Musheng hangus, rumah terbakar dan dirinya dibantai hingga masuk penjaga.

Dalam kepala Zheng, sebagai lelaki, dia harus pastikan ada qiaopi iaitu surat berisi wang dapat dikirim ke kampung buat anak isteri. Dalam keadaan mendesak dan hari-hari rusuhan, kita lazimnya akan lebih mengenal siapa duri dan daging.

Juga segala yang terjalin akan tersimpul lebih erat kerana di hati masing-masing kita mempunyai rasa untuk melindungi, menjaga dan memastikan ‘orang-orang’ kita di bumi asing tidak menghadapi nasib buruk. Darah bangsa yang mengalir akan menjadi lebih pekat di bumi berbeza.

Xie Nanzhi anak tuan rumah tumpangan menunjukkan kepada kita bahawa ada cinta yang lebih besar, murni, kasih dalam persahabatan. Tidak semua orang ditakdirkan sebagai ibu. Namun tidak bermakna dia kurang markah sebagai perempuan. Nanzhi mempunyai anak angkat, mengajar orang Cina di Thailand membaca agar nasib buruk ini dapat diubah generasi berikutnya.

Nanzhi tidak hanya menjadi sahabat yang baik kepada Musheng sepanjang hayatnya tetapi juga selepas hayatnya. Dia menyambung kiriman surat, berpura-pura menjadi suami agar seorang isteri di pedalaman China tidak mati kerana kesedihan.

Nanzhi tahu, senjata paling ampuh untuk melawan segala kekerasan dan kekecewaan ialah harapan. Dia memberi makna agar Shurou tetap mempunyai sebab membesarkan anak-anak. Dikirimnya surat berisi daging babi, kadang basikal untuk dipakai Shurou walau tidak pernah bertemu.

Rahsia itu disimpan ketat dan kemas selama berpuluh tahun sebelum akhirnya sebuah badai menghentam China melarutkan surat berita penting sekali gus menimbulkan salah faham hanya kerana sekeping gambar yang tiada penjelasan.

Adegan Nanzhi dan Shurou betemu pertama kali sangat mengesankan. Nanzhi mungkin sudah dibantai usia membuatnya lupa, tapi rasa yang direkodkan tubuh tidak akan pernah menipu. Dia masih mempunyai rasa prihatin, menyebut berkali-kali harus mengirim sesuatu kepada Shurou. Janda malang itu tidak boleh merasakan dirinya malang.

Shurou meninggalkan Siam, meninggalkan juga benci kepada suami yang sudah lama bersarang dalam jiwa. Melihat lorong-lorong sempit Bangkok yang kini bertukar meriah dengan kedai jualan.

Lorong sama yang ‘membesarkan’ suaminya, dan menyaksikan suaminya meluahkan rindu kepada keluarga.

Memang ada cinta yang tamat lebih awal daripada diduga. Tapi akan selalu ada cinta lain yang sama tulus datang dengan cara berbeza, namun cukup kuat membuat kita mengharungi sialnya dunia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN