Dunia tertumpu aksi final Piala Dunia Argentina dan Sepanyol

Dunia tertumpu aksi final Piala Dunia Argentina dan Sepanyol

STADIUM New York New Jersey di East Rutherford dibanjiri lautan penyokong biru dan merah.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Selepas hampir enam minggu penuh drama, kejutan dan emosi, Piala Dunia 2026 akhirnya tiba ke kemuncaknya apabila dua kuasa besar bola sepak dunia, Argentina dan Sepanyol bakal berentap dalam perlawanan akhir yang dinanti-nantikan, awal pagi ini.

Stadium New York New Jersey di East Rutherford kini bersedia menjadi pentas penutup kepada kejohanan terbesar dunia itu yang sepanjang penganjurannya menyajikan pelbagai kisah menarik, daripada aksi berkualiti tinggi dan keputusan mengejut sehinggalah kontroversi yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak.

Perlawanan akhir kali ini membawa naratif tersendiri apabila Argentina turun sebagai juara bertahan dengan misi mempertahankan gelaran yang dimenangi empat tahun lalu, manakala Sepanyol pula berhasrat menambah koleksi kejuaraan dunia kedua selepas kejayaan bersejarah mereka pada 2010.

Tumpuan utama pastinya terarah kepada kapten Argentina, Lionel Messi yang berpeluang menutup karier gemilangnya di pentas Piala Dunia dengan satu lagi trofi berprestij, sekali gus mengukuhkan lagi statusnya sebagai antara pemain terbaik sepanjang zaman.

Dalam masa sama, Sepanyol hadir dengan keyakinan tinggi selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang kejohanan dan berharap generasi baharu yang diketuai sensasi muda, Lamine Yamal mampu membawa La Roja kembali ke puncak bola sepak dunia.

Menjelang sepak mula, keadaan di sekitar stadium berada dalam suasana yang jauh lebih selesa berbanding beberapa hari lalu apabila masalah kualiti udara akibat kebakaran hutan di Kanada yang menjejaskan kawasan sekitar New York sudah beransur pulih.

Cuaca panas melampau yang menjadi cabaran utama sepanjang kejohanan juga semakin reda, sekali gus memberikan kelegaan kepada pemain, pegawai dan puluhan ribu penyokong yang membanjiri kawasan stadium sejak awal pagi.

Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump turut menyebabkan tahap keselamatan dipertingkatkan dengan ketara apabila pihak berkuasa melaksanakan pemeriksaan ketat di semua pintu masuk stadium.

Ratusan petugas media, sukarelawan dan penghibur dilaporkan terpaksa menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi pemeriksaan keselamatan yang dikendalikan ejen Perkhidmatan Rahsia AS menggunakan peralatan pengesan khas.

Di dalam stadium pula, suasana mula bertukar meriah apabila ribuan penyokong Argentina dan Sepanyol memenuhi tempat duduk sambil mengibarkan bendera serta menyanyikan lagu sokongan masing-masing beberapa jam sebelum sepak mula.

Penyokong Argentina yang terkenal dengan semangat luar biasa hadir dengan lautan warna biru putih, manakala peminat Sepanyol tidak kurang hebatnya apabila membanjiri stadium dengan warna merah dan kuning yang sinonim dengan La Roja.

Majlis penutup sebelum perlawanan turut dijangka menjadi antara tarikan utama apabila menampilkan persembahan artis terkenal antarabangsa termasuk Post Malone dan Tom Cruise, selain penyanyi Jennifer Hudson yang akan menyampaikan lagu kebangsaan AS.

Penyanyi Christopher Macchio pula dijadual mempersembahkan lagu patriotik ‘America the Beautiful’ dalam acara yang dijangka disaksikan ratusan juta penonton di seluruh dunia.

Final kali ini turut mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kali sejak edisi pertama Piala Dunia pada 1930, dua negara yang menggunakan bahasa Sepanyol bertembung dalam perlawanan akhir kejohanan tersebut.

Selain aksi di atas padang, Piala Dunia 2026 juga menyaksikan beberapa pembaharuan berinspirasikan budaya sukan Amerika Syarikat termasuk penggunaan waktu rehat hidrasi yang lebih panjang serta cadangan pemberian cincin kejuaraan kepada pasukan pemenang.

Satu lagi elemen baharu yang mencuri perhatian ialah persembahan separuh masa bertaraf dunia yang bakal menampilkan ikon muzik antarabangsa, Madonna dan Shakira.

Persembahan tersebut dijangka memanjangkan tempoh rehat biasa selama 15 minit kepada sekurang-kurangnya 20 minit, malah berpotensi mencecah setengah jam.

Walaupun harga tiket dilaporkan mencecah ribuan dolar Amerika, ia tidak menghalang penyokong daripada hadir beramai-ramai untuk menjadi saksi pertembungan antara dua gergasi bola sepak dunia yang menjanjikan aksi penuh dramatik.

Malah, ribuan peminat turut sanggup beratur panjang di kiosk rasmi bagi mendapatkan cenderamata eksklusif dengan harga jersi rasmi mencecah AS$130 (RM530), semata-mata untuk membawa pulang kenangan daripada malam yang berpotensi mencipta sejarah baharu bola sepak dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN