Dalam industri hiburan Hollywood, rupa paras sering dijadikan sebagai aset utama. Namun, tidak semua pelakon wanita memulakan kerjaya seni mereka dengan pujian. Ada yang pernah dilabel hodoh, pelik, malah dikatakan tidak memiliki wajah seorang bintang.
Siapa sangka, wajah yang pernah menjadi bahan kritikan suatu ketika dahulu akhirnya diangkat sebagai simbol kecantikan luar biasa. Masa mengubah segalanya, keyakinan yang tidak pernah luntur serta personaliti yang memikat membuatkan persepsi ramai berubah sedikit demi sedikit.
Hari ini, mereka bukan sahaja dikenali sebagai pelakon hebat, malah menjadi inspirasi kerana membuktikan kecantikan sebenar tidak semestinya hadir dalam wajah sempurna, sebaliknya terletak pada keunikan yang dimiliki setiap individu.
Berikut lima aktres Hollywood yang pernah dikritik hodoh. Namun bakatnya mengaburi ketidaksempurnaannya:-
Barbra Streisand
Barbra Streisand antara legenda Hollywood yang pernah berdepan kritikan terhadap penampilannya pada awal kerjaya. Bentuk hidungnya yang besar dan ciri wajah yang dianggap tidak memenuhi standard kecantikan ketika itu menyebabkan beliau sering menerima tekanan supaya menjalani pembedahan kosmetik bagi meningkatkan peluang dalam industri hiburan. Namun, Barbra memilih mengekalkan penampilan asalnya dan enggan mengubah identitinya demi memenuhi kehendak orang lain.
Keputusan itu akhirnya menjadi salah satu faktor yang membezakan beliau daripada selebriti lain, selain menyerlahkan keyakinan dirinya sebagai seorang penghibur. Selepas mencipta nama menerusi filem seperti Funny Girl dan kerjaya muzik yang cemerlang, Barbra membuktikan bakat, karisma dan keaslian mampu mengatasi persepsi terhadap rupa paras.
Hilary Swank
HiLARY SWANK pernah berdepan kritikan terhadap penampilannya pada awal kerjaya apabila ada beranggapan wajahnya terlalu tegas dan tidak menepati imej glamor yang sinonim dengan heroin Hollywood. Bentuk rahangnya yang jelas serta raut wajah maskulin menyebabkan dia sering dibandingkan dengan standard kecantikan konvensional yang lebih mengutamakan wajah lembut. Namun, itu tidak mematahkan semangatnya. Malah, beliau memenangi dua anugerah Academy Award for Best Actress menerusi filem Boys Don’t Cry dan Million Dollar Baby.
Anya Taylor Joy
Rupa paras Anya Taylor-Joy pernah menjadi bahan perdebatan di media sosial kerana ciri-cirinya yang luar biasa, terutama jarak mata yang lebar, tulang pipi tinggi dan bentuk wajah yang unik.
Malah, ada yang menganggap penampilannya terlalu berbeza daripada stereotaip aktres Hollywood. Namun, keunikan itulah yang akhirnya menjadi identiti dirinya tanpa perlu mengubah kesempurnaan sedia ada.
Selepas kejayaan membintangi The Queen’s Gambit, beliau mula mendapat pengiktirafan bukan sahaja kerana bakat lakonan, malah penampilannya turut dianggap eksklusif dan memukau.
Lebih menarik lagi, industri fesyen turut mengangkatnya sebagai ‘muse’ dan kini dia kerap membuat kemunculan di pelbagai pertunjukan fesyen dan acara karpet merah antarabangsa.
Tilda Swinton
Sejak awal pembabitannya dalam dunia lakonan, Tilda Swinton sering mendapat perhatian kerana memiliki wajah maskulin, kulit sangat cerah serta penampilan berbeza daripada kebanyakan bintang wanita Hollywood. Itu menyebabkan ada pihak menganggap dia tidak menepati standard kecantikan arus perdana.
Namun, persepsi itu berubah apabila beliau membuktikan kehebatan lakonannya, selain berani menampilkan gaya fesyen yang eksperimental.
Penampilan elegannya itu menjadikannya pilihan jenama mewah dan pereka terkenal di pentas antarabangsa.
Sarah Jessica Parker
Sarah Jessica Parker sering menjadi contoh bagaimana persepsi terhadap kecantikan boleh berubah mengikut masa. Pada awal kerjayanya, beliau pernah menerima pelbagai kritikan terhadap rupa parasnya.
Ada yang menganggap wajahnya tidak memenuhi standard kecantikan Hollywood kerana bentuk wajah yang panjang dan ciri-ciri wajah yang unik. Bagaimanapun, persepsi itu berubah selepas kejayaannya membawa watak sebagai Carrie Bradshaw menerusi drama bersiri Sex and the City.
Personaliti yang memikat, gaya fesyen yang berani serta keyakinan diri menjadikan Sarah bukan sahaja ikon televisyen, malah antara figura fesyen paling berpengaruh di dunia.










