PUTRAJAYA: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu di Terengganu menjadi PRK pertama selepas hampir sembilan bulan daripada tempoh pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung pada 19 November lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi PRK itu yang diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 ogos ini, manakala hari penamaan calon pula pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Sejumlah 123,575 pemilih bakal menentukan nasib calon Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim yang bersedia mempertahankan kerusi itu selepas Mahkamah Pilihan Raya di Terengganu membatalkan kemenangannya pada PRU15 lalu.
PENGUNDI
Daripada jumlah pemilih itu, seramai 123,575 orang terdiri daripada 122,160 orang pengundi biasa, 35 orang tentera serta pasangan, 1,362 orang polis dan 18 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, bagi menjalankan proses PRK ini, SPR melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu 19 orang penolong pengurus.
“Bagi tujuan memantau aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh berkempen, SPR akan mengekalkan empat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang sama daripada 252 pasukan yang ditubuhkan untuk PRN sebagaimana diumumkan sebelum ini.
“PP-KPR ini turut dianggotai wakil pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon bertanding,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas SPR di sini semalam.
Pada 12 Julai lalu, SPR menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah yang membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen P036 Kuala Terengganu itu.
Parlimen Kuala Terengganu mengandungi empat DUN iaitu DUN Wakaf Mempelam melibatkan jumlah pengundi sebanyak 34,509 orang; DUN Bandar (22,057 orang), DUN Ladang (26,250 orang) dan DUN Batu Buruk (40,759).
Sejumlah 61,392 pengundi lelaki direkodkan dalam Parlimen berkenaan dengan kumpulan pengundi muda berjumlah 62,803 orang antara umur 18 hingga 39 tahun iaitu meliputi lebih separuh atau 50.82 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi.
Abdul Ghani berkata, permohonan undi pos yang diluluskan untuk mengundi pos bagi keempat-empat DUN di bawah Parlimen berkenaan akan turut diberikan kertas undi pos PRK ini.
Seramai 1,995 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK melibatkan jumlah pusat mengundi sebanyak 44 buah dengan 222 tempat saluran mengundi.
“PRK ini memerlukan peruntukan tambahan sebanyak RM465,000 memandangkan sebahagian besar daripada anggaran kos pelaksanaannya diambil kira dalam pelaksanaan PRN bagi negeri Terengganu,” katanya. – UTUSAN










