Kerajaan jamin kebajikan rakyat - PM - Utusan Malaysia

Kerajaan jamin kebajikan rakyat – PM

Anwar Ibrahim bersalaman bersama para jemaah ketika tiba untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak semalam. -UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar kerajaan perpaduan akan menggunakan kua­sa dan pengaruh yang ada untuk menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat.
Menurut Perdana Menteri, terdapat banyak agenda yang belum dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha menjaga rakyat.

Oleh itu, kata Anwar, bagi memastikan semua agenda tersebut boleh dilaksanakan kerajaan perpaduan perlu diperkuatkan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

“Pada 29 Julai ini adalah (hari) penamaan calon, jadi saya harap kita perkuatkan kerajaan perpaduan untuk kita dapat jalan kerja (yang) baik untuk semua rakyat.

“Kita ada Menteri Besar yang baik (Datuk Seri Amirudin Shari) dan kita ada Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Megat Zulkarnain Omardin). Kita bekerjasama dengan BN sekarang.

“Jadi saya harap kita jangan lupa ada agenda yang belum kita laksanakan. Insya-Allah kita gunakan kuasa dan pengaruh untuk menjaga kepentingan rak­yat,” kata Perdana Menteri sebelum menjamu selera di Res­toran Sri Ayu di Medan Selera Sri Gombak di sini semalam.

JUMAAT

“Alhamdulilah dapat bersama-sama solat Jumaat di sini (dan) makan dahulu. Makan tidak mengapa, Menteri Besar (Amirudin) ada (beliau) boleh bayar.

“Kemudian santai sahaja, ini sudah menjadi acara mingguan saya iaitu makan di warung (selepas itu) solat Jumaat,” katanya.
Selepas kira-kira setengah jam makan, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) kemudian menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah dengan diiringi Amirudin dan Megat Zulkarnain.

Untuk rekod, PRN bakal diadakan di enam buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Ia melibatkan 9,773,571 pemilih di enam negeri tersebut mengikut data terkini Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemas kini sehingga 21 Jun lalu.

Menjelang PRN, kesemua parti politik sedang mempersiapkan jentera masing-masing bagi memastikan calon yang dipertaruhkan memenangi 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebelum ini mengesahkan bahawa pembahagian kerusi antara kerajaan perpaduan dan BN sudah dimuktamadkan manakala Majlis Presiden Perikatan Nasional (PN) turut sama isu pembahagian kerusi sudah selesai.

Sementera itu, mengenai pertemuan secara persidangan video dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk di Pejabat Perdana Menteri pada sebelah pagi, Anwar berkata, ahli perniagaan itu memilih Cyberjaya untuk membina sebuah ibu pejabat kenderaan elektriknya.

Menurut beliau, perbincangan dengan jutawan berkenaan membawa perkembangan yang baik buat negara.

KENDERAAN

“Perkembangan tersebut terutamanya adalah mengenai peningkatan kenderaan elektrik (EV) dalam Malaysia.

“Beliau (Musk) bersetuju untuk beroperasi dari Cyberjaya. Tentang Starlink, tentang internet akses (dan) ketersambungan itu kita (sudah) bersetuju.

“Ini akan memberikan ruang kepada semua kawasan luar bandar, sekolah (dan) universiti untuk mendapat akses internet secara langsung yang murah.

“Walaupun 40 (satelit) disediakan awal tetapi dia (Musk) boleh beri pengakuan untuk memberikan keutamaan kepada Malaysia,” kata beliau ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khairiyah.

Terdahulu Anwar dan Musk mengadakan mengadakan pertemuan melalui persidangan video 25 minit bermula pukul 9.30 pagi di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Turut serta perbincangan bersama Musk ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN