PETALING JAYA: Tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) belum tiba tetapi perjalanan demokrasi itu telah pun dicemari insiden tidak sepatutnya sehingga menghakis keharmonian dalam kalangan rakyat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, tokoh sejarah, Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, sejak akhir-akhir ini perpaduan negara dicemari kempen politik yang keterlaluan.
Katanya, kempen pilihan raya yang sepatutnya mengangkat isu-isu rakyat tetapi dicemari dengan kenyataan mengherdik dan menghina sesama sendiri.
“Saya tidak nampak perpaduan negara kian terhakis dalam kalangan rakyat Malaysia, tetapi tindak-tanduk pemimpin politik sendiri yang membuat kenyataan merendahkan antara satu sama lain menyebabkan perpaduan tanah air kian tercemar.
“Lebih menyedihkan, kempen pilihan raya yang sepatutnya mengangkat isu-isu rakyat dicemari dengan kenyataan mengherdik dan menghina sesama sendiri,” katanya.
Beliau mengulas situasi politik menjelang PRN pada 12 Ogos ini susulan segelintir pemimpin bukan sahaja disiasat, malah berdepan pendakwaan mahkamah kerana didakwa menyentuh isu-isu sensitif.
Terbaharu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua dakwaan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.
Sebelum itu, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang disiasat berkaitan isu sensitif kaum, agama dan raja (3R).
Dalam pada itu, Ramlah tidak nampak penghayatan Rukun Negara kurang dalam kalangan rakyat, sebaliknya rakyat perlu bijak menilai segala isi kenyataan disampaikan pemimpin politik dan tidak menerima bulat-bulat untuk dibanggakan sama ada menerusi ruangan komen media sosial atau kehidupan seharian.
“Malangnya ada penyokong bersorak dan bertepuk tangan jika ada pemimpin politik menghina soal keperibadian pihak lawan, malah ada menyambut dengan positif.
“Jadi ini yang perlu diperbetulkan. Rukun Negara dan rakyat tidak salah, yang perlu dituding jari adalah gelagat ahli politik itu sendiri,” katanya.
Sementara itu, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, sudah tiba Suruhanjaya Kedaulatan Negara ditubuhkan untuk mengukuhkan dan menyebar luas kefahaman prinsip kedaulatan negara serta melaksanakan pemantauannya demi kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional berteraskan kerangka utama Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, dalam maksud memberi kefahaman kepada setiap warganegara berhubung prinsip kedaulatan negara, maka suruhanjaya itu akan bertanggungjawab berkisar soal kedaulatan negara dan jati diri bangsa Malaysia.
“Selain itu ia bertindak sebagai badan perundingan untuk menyemak rang undang-undang dan dasar-dasar kerajaan agar selari dengan prinsip kedaulatan negara dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.
“Ia juga sebagai badan pemantau berkaitan pematuhan prinsip kedaulatan negara di Malaysia. Prinsip kedaulatan negara merupakan kedaulatan undang-undang, justeru ia perlu dijunjung sebagai teras perpaduan nasional,” katanya. – UTUSAN










