PUTRAJAYA: Memastikan kira-kira 300,000 graduan institut pengajian tinggi (IPT) yang tamat belajar setiap tahun dapat memenuhi kehendak industri kini menjadi cabaran besar kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Mengikut statistik bilangan kemasukan dan keluaran pelajar pengajian di IPT pada tahun 2022 yang dikeluarkan KPT pada 6 Julai lalu, sejumlah 1,202,202 jumlah pelajar sedia ada direkodkan di semua peringkat pengajian dan kategori IPT seluruh negara.
Bidang pendidikan merekodkan sejumlah 27,627 orang berbanding seramai 16,427 jumlah keluaran pelajar bidang itu.
Bagi bidang sains sosial, perniagaan dan dan perundangan pula, jumlah kemasukan (140,515) dan keluaran pelajar (22,446 orang), selain bidang kejuruteraan, pembuatan dan pembinaan pula merekodkan 61,559 orang kemasukan dan keluaran pelajar (64,473 orang).
GRADUAN
Bagaimanapun, berdasarkan kajian pengesanan graduan 2022 pula, hampir 30,000 graduan atau 29,099 golongan itu belum bekerja daripada jumlah keseluruhan 295,962 graduan pada tahun berkenaan.
Dalam hal ini, timbul persoalan ke mana hala tuju anak muda dalam keperluan tenaga manusia berkemahiran tinggi pada masa hadapan mengikut kehendak industri menjadi cabaran sektor pengajian tinggi negara.
Dengan kedudukan rakyat negara ini lebih memilih untuk bekerja ‘makan gaji’, ia turut menjadi cabaran penyediaan pasaran kerja di negara ini apabila Statistik Tenaga Buruh sehingga April 2023 merekodkan seramai 12.28 juta penduduk Malaysia selesa bekerja makan gaji manakala hanya 2.92 juta orang memilih untuk bekerja sendiri.
Mengulas mengenai situasi itu kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Ismail berkata, IPT negara tersepit antara kemasukan pelajar ke IPT dan kebolehpasaran graduan selepas pandemik Covid-19.
Beliau berkata, bagi memastikan keperluan masa hadapan tenaga manusia terutama dalam bidang sains dan teknologi mencukupi, maka tindakan strategik perlu difikirkan bermula sekarang.
Beliau menjelaskan, universiti mesti peka dengan senario semasa dan keperluan tenaga manusia berkemahiran tinggi masa hadapan untuk memenuhi kehendak Industri.
Semua IPT juga mesti mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu berkenaan dengan mengubah pendekatan pengajaran dan disesuaikan dengan tuntutan semasa.
“Perubahan pendekatan itu boleh dilaksanakan melalui program latihan industri pelajar dan dalam menjayakan program ini, pensyarah juga mesti ada pendedahan.
“Misalnya seorang pelajar dalam bidang komunikasi dan mereka berminat dalam komunikasi berkaitan dengan pelancongan. Pelajar berkenaan akan menjalankan latihan Industri di agensi berkaitan pelancongan.
“Pensyarah mesti menguasai bidang kerjaya dan pendekatan dalam pengajaran. Segala yang ada dalam kurikulum diterjemahkan dengan terbaik antara teori dan amal sebagai persediaan dan minat pelajar menerokai bidang kerjaya mereka masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










