Jenazah Salahuddin tiba di kediaman ibunya - Utusan Malaysia

Jenazah Salahuddin tiba di kediaman ibunya

JENAZAH Allahyarham Salahuddin Ayub tiba di kediaman ibunya di Kampung Serkat, Pontian pada pukul 3.35 pagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Van yang membawa jenazah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub tiba di kediaman ibunya di Kampung Serkat, Tanjung Piai di sini pada pukul 3.35 pagi ini.

Jenazah akan dibawa ke kediaman Allahyarham di Jalan Adil, Serkat sebelum ke Masjid Jamek Dato Haji Noh Gadot untuk disolatkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, di sini.

Terdahulu, jenazah Allahyarham tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada pukul 2.30 pagi, dibawa menaiki pesawat khas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Setar, Kedah.

Turut mengiringi jenazah, isteri Allahyarham, Datin Seri Fatimah Taha, anak sulungnya dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram meninggal dunia pada pukul 9.23 malam tadi di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah.

Jumaat lalu, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) dikejarkan ke HSB pada pukul 10.15 malam selepas mengalami muntah-muntah sebelum disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar. 

Allahyarham kemudian menjalani pembedahan pada hari Sabtu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun ditidurkan dan dipantau rapi di ICU.

Allahyarham meninggalkan Fatimah dan enam cahaya mata.

Allahyarham dipilih sebagai Timbalan Presiden Amanah sejak tahun 2015. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram di Muar.

Sebelum ini, Allahyarham dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN