KUALA LUMPUR: Isu penempatan sempit di kawasan Mina, Mekah dapat ditangani sekiranya tempoh masa minimum ditetapkan untuk setiap jemaah Malaysia yang melakukan ibadah di sana.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, antara cadangan tempoh yang relevan untuk berada di Mina adalah selama tiga hingga empat hari.
“Dengan cara begini, ia akan dapat memberi keselesaan kepada para jemaah kerana tidak semua jemaah akan berada di kawasan Mina dalam masa tersebut selain mengurangkan masalah kepadatan.
“Mina adalah kawasan yang telah ditetapkan oleh syarak untuk para hujjaj terbabit. Kaedah ini telah pun diamalkan oleh sebahagian jemaah iaitu berada di luar Mina dan hanya datang untuk bermalam dalam tempoh masa yang ditetapkan syarak termasuk waktu siang boleh berada di penempatan luar Mina yang berdekatan,” katanya.
Menurut beliau, kaedah ini juga mengurangkan isu kepadatan di kawasan melontar kerana mengikut aturan jadual.
Terdahulu, Timbalan Dekan Jaringan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim memaklumkan isu ruang sempit dalam khemah di Mina memerlukan ijtihad dan perancangan baharu bagi mencari penyelesaian masalah penempatan para jemaah haji Malaysia khususnya di bawah muassasah sepanjang bermabit (bermalam) di tanah haram itu.
Katanya, penyelesaian itu boleh dilakukan jika pihak Tabung Haji (TH) dapat memikir jalan penyelesaian menerusi kaedah menambah baik penempatan sedia ada. – UTUSAN










