PUTRAJAYA: Hampir 145,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 ditawarkan tempat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Para pelajar yang terpilih boleh menyemak status tawaran mulai hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tawaran itu berdasarkan kekosongan tempat dan penilaian merit atau 60.93 peratus daripada 237,805 pelajar yang layak melalui permohonan kemasukan UPUOnline.
Permohonan itu bagi kemasukan ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma sesi akademik 2023/2024.
Selepas semakan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menawarkan kepada 144,911 pelajar atau 60.5 peratus daripada 239,609 yang memohon untuk melanjutkan pengajian di IPTA di seluruh negara.
Mereka yang memohon itu adalah kira-kira 59 peratus daripada 403,637 pelajar yang mendaftar bagi peperiksaan SPM 2022.
Ini bermakna, seramai 164,028 tidak membuat permohonan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi menerusi sistem itu yang dipercayai meliputi mereka yang gagal memperoleh sijil dan tidak hadir menduduki SPM.
“KPT menawarkan laluan khas kepada 14,619 pelajar daripada empat kumpulan bagi kemasukan ke pengajian tinggi awam iaitu golongan B40, orang kelainan upaya (OKU) atau lepasan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Orang Asli dan atlet.
“Bagi sesi akademik kali ini, ia merangkumi 13,649 pelajar daripada golongan B40; 346 pelajar OKU/lepasan institusi JKM, 289 pelajar Orang Asli dan 335 atlet,” kata beliau.
Menurut beliau, jumlah tawaran tersebut belum termasuk angka terakhir kemasukan ke IPTA selepas tempoh rayuan diterima.
SERIUS
Dalam pada itu, beliau berkata, KPT memandang serius isu pelajar enggan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan kerajaan sedang melakukan usaha-usaha bagi meningkatkan jumlah kemasukan ke IPTA.
KPT sebelum ini memaklumkan, pihaknya menanggung kos sebanyak RM15 sebagai Bayaran Proses UPU Online untuk setiap pemohon dengan semuanya membabitkan RM5.25 juta yang memanfaatkan lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM/Setaraf.
Sementara itu, KPT berkata, pelajar yang membuat permohonan boleh menyemak keputusan mulai pukul 12 tengah hari ini hingga pukul 5 petang, 16 Julai melalui pelbagai platform antaranya menerusi aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.
Semakan juga boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan https://jpt.utm.my; https://jpt.uum.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.ums.edu.my dan http://jpt.umt.edu.my.
KPT memaklumkan, pengesahan setuju terima atau tolak tawaran boleh dilakukan bermula 8 Julai hingga 16 Julai 2023 di laman web IPTA dan ILKA.
Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai esok (8 Julai) setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang dinyatakan.
Hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPU Online bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai hari ini sehingga 16 Julai 2023, pukul 5 petang.
Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.
“Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.
“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” kata KPT. – UTUSAN









