PONTIAN: Empat lelaki ditahan kerana terlibat dengan pergaduhan berpunca daripada hutang di Loji Kumbahan Taman Megah, di sini.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, empat lelaki yang berusia antara 22 hingga 50 tahun itu saling mengenali antara satu sama lain.
Katanya, pergaduhan dipercayai tercetus apabila seorang lelaki menuntut hutang daripada kenalan yang meminjam, namun berlaku campur tangan daripada dua lelaki lain bagi membantu rakannya.
“Keempat-empat lelaki tempatan ini beralamat di Kampung Pontian Besar dan Parit Semerah telah dibawa ke Ibu pejabat Daerah Polis (IPD) Pontian bagi siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sebelum ini tular dalam media sosial rakaman pergaduhan antara empat lelaki tersebut di kawasan Loji Kumbahan Taman Megah yang turut disaksikan oleh orang ramai.
Mohammad Shofee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang pergaduhan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Sugendharan Nair menerusi talian 016-7590306 bagi membantu siasatan.
Beliau menasihati orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengundang pergaduhan disebabkan oleh masalah hutang dan sebagainya. – UTUSAN