SEREMBAN: Kerajaan sedang mengkaji untuk menambah baik elaun agensi keselamatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kajian elaun itu dilakukan bagi menjaga kebajikan anggota serta untuk tujuan kesiapsiagaan.
Menurut Shamsul Anuar, pada ketika ini sebanyak 35 jenis elaun dan bayaran insentif sedang dinikmati oleh anggota PDRM dan terdapat lima lagi elaun sedang dalam kajian.
“Bagi permohonan pertambahan perjawatan, sebanyak tujuh cadangan pengukuhan perjawatan sedang dalam pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam.
“Usaha yang dilaksanakan oleh agensi keselamatan ini amat besar dan kerajaan amat prihatin dalam memastikan kebajikan anggota keselamatan terjaga,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Wakalah KDN dengan kerjasama PBLT Sdn. Bhd. dan PDRM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengerusi PBLT Sdn. Bhd, Tan Sri Mazlan Lazim.
Jelas Shamsul Anuar, PDRM sebagai salah satu agensi terbesar di bawah KDN memainkan peranan yang amat penting dalam mengekang perlakuan jenayah dan seterusnya memastikan keadaan dalam negara kekal aman dan sejahtera.
“Kes jenayah indeks sehingga Jun 2023 adalah pada tahap 73 kes bagi setiap 100,000 penduduk jauh di bawah sasaran iaitu 242 kes bagi setiap 100,000 penduduk untuk tahun 2023,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul Anuar berkata, kerajaan juga telah bersetuju meluluskan 200 buah motosikal berkuasa tinggi bagi penugasan kawalan keselamatan dan mengiring.
Katanya, keseluruhan kos penyewaan untuk tujuan ini adalah sebanyak RM84 Juta bagi tempoh lima tahun.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan terus proaktif untuk menjaga kebajikan seluruh penjawat awam terutamanya anggota keselamatan yang telah banyak menyumbang bakti kepada negara.
Tambah beliau, pihak kerajaan juga berterima kasih kepada pihak swasta yang turut prihatin dalam membantu meringankan beban penjawat awam melalui pemberian sumbangan dalam pelbagai bentuk.
Katanya, pemberian zakat wakalah berkenaan merupakan inisiatif yang bertepatan dengan prinsip ihsan dalam Malaysia Madani.-UTUSAN.