PETALING JAYA: Semua parti dan calon bertanding dicadang mencapai persetujuan untuk tidak menyalahgunakan isu berkaitan agama, raja dan kaum (3R) pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang berkata, ia bagi memastikan enam PRN itu menjadi satu pilihan raya yang bersih dan jujur.
Malah, katanya, ia juga bagi menunjukkan kepada dunia bahawa pilihan raya boleh diadakan tanpa dibanjiri dengan penipuan, fitnah, berita palsu serta ucapan kebencian walaupun dalam era media sosial.
“Bolehkah enam pilihan raya negeri di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang bakal berlangsung pada 12 Ogos ini dijadikan satu pilihan raya yang bersih dan jujur dan tidak dibanjiri dengan tsunami penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian?
“Saya cadangkan supaya semua parti dan calon yang bertanding untuk mencapai persetujuan untuk tidak menyalah guna isu-isu 3R dan untuk membentuk satu mekanisma untuk mendedahkan penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian dalam kempen pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Jelas Kit Siang, mekanisme itu juga perlu membolehkan mana-mana parti politik, calon, atau individu membuat laporan mengenai apa-apa penipuan, fitnah, berita palsu, dan ucapan kebencian semasa kempen pilihan raya.
“… dan aduan ini disiasat secepat mungkin supaya dapatan siasatan dapat diterbitkan,” katanya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini mengesahkan selesai mengambil keterangan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berhubung kenyataan beliau yang didakwa menyentuh isu 3R selepas mempertikaikan kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar negeri itu.
Selain itu, PDRM turut membuka kertas siasatan terhadap tiga pemimpin parti politik lagi yang didakwa menyentuh isu 3R iaitu Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. -UTUSAN