PETALING JAYA: Gabungan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) disifatkan seimbang sekali gus memberi kelebihan untuk mengatasi lawan khususnya daripada Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos ini
Gabungan blok PH-BN kecuali DAP yang sudah mengumumkan calon masing-masing minggu lalu membariskan individu berpengalaman, nama-nama heavyweight serta muka baharu.
Pemerhati politik berpendapat, meskipun ada mempersoalkan calon kitar semula, sebaliknya kehadiran muka lama merupakan strategi BN-PH untuk mempertahankan dan merampas kerusi yang sebelum ini dimenangi lawan bersandarkan faktor pengalaman bukan populariti.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, meskipun PN dijangka mempertaruhkan calon-calon popular seperti pemain bola sepak dan tokoh akademik, namun tindakan itu belum pasti mampu mempengaruhi kertas undi.
Katanya, BN misalnya masih mempertaruhkan kalangan bekas menteri besar dan menteri Kabinet kerana yakin pengundi akan menilai kemampuan mereka membawa aspirasi rakyat.
“Selepas lapan bulan Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), rakyat mahukan kematangan berpolitik dan kestabilan untuk memilih wakil rakyat dan kerajaan. Jadi, kedua-dua aspek ini akan menentukan parti atau calon yang berpotensi meraih kemenangan kelak.
“Dalam berpolitik ini, kita memerlukan keseimbangan antara muka lama dan baharu, barulah ada keyakinan dalam kalangan pengundi untuk memilih wakil rakyat.
“Jadi, oleh sebab itulah, ada parti yang berpandangan bahawa mereka perlu meletakkan muka lama meskipun pernah tewas pilihan raya lalu,” katanya.
Untuk keenam-enam negeri, BN mengetengahkan 107 calon dan PKR pula 61 calon serta Parti Amanah Negara (Amanah) mempertaruhkan 31 calon manakala bakinya akan diumumkan DAP dalam minggu ini.
PN yang belum mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada PRN itu dijangka berbuat demikian dalam masa terdekat.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr. Mazlan Ali berkata, pengundi bandar masih melihat kepada calon berkaliber dan berpengalaman berbanding di luar bandar yang menilai parti semata-mata.
Justeru, beliau berpandangan, ada parti misalnya BN membariskan 63 peratus muka baharu kerana mereka melihat faktor calon bakal menjadi penentu kejayaan dalam pilihan raya itu khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Tambah beliau, sebaliknya Kedah, Terengganu dan Kelantan masih melihat kepada agenda perjuangan parti yang diperjuangkan seperti Melayu dan Islam dan tidak mustahil PN boleh kekal di tiga negeri tersebut.
“Bagaimanapun pengundi atas pagar di kawasan bandar memainkan peranan kerana mereka boleh menjadi penentu kemenangan seseorang calon atau parti, kerana mereka tidak melihat parti sebaliknya kepada calon.
“Jadi mereka boleh menjadi king maker (penentu utama) kemenangan sesebuah parti atau calon di kawasan bandar.
“Sebab itulah calon malar segar seperti Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican perlu diketengahkan kerana kehadiran mereka boleh menjadi penarik kemenangan PRN nanti,” katanya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari pengundian bagi enam pilihan raya negeri yang diadakan bagi mengisi kekosongan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, 45 DUN Kelantan, 32 DUN Terengganu, 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 56 DUN Selangor dan 36 DUN Negeri Sembilan.
Sebelum ini Kelantan terlebih dahulu membubarkan DUN 22 Jun lalu diikuti Selangor 23 Jun manakala Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu masing-masing pada 28 Jun dan Negeri Sembilan pula pada 1 Julai. – UTUSAN










