Kerajaan Pahang serius 'hukum' penceroboh tanah haram - PSAP - Utusan Malaysia

Kerajaan Pahang serius ‘hukum’ penceroboh tanah haram – PSAP

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tindakan kerajaan negeri menyerahkan kepada mahkamah untuk ‘menghukum’ penceroboh tanah haram adalah keputusan tepat bagi memastikan pihak tidak bertanggungjawab terbabit dihukum berlandaskan undang-undang.

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, ia juga memperlihatkan keseriusan kerajaan Pahang pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membanteras kegiatan penerokaan tanah haram di negeri ini.

“Isu penerokaan tanah haram ini bukan perkara baru, ia sejak sekian lama berlaku yang mana pihak tidak bertanggungjawab mengaut untung jutaan ringgit tanpa membayar premium, sewaan atau pemilikan sementara tanah serta cukai.

“Sekiranya hanya didenda, penceroboh-penceroboh tanah haram tetap berleluasa kerana mereka mampu bayar denda, jadi kini biar mahkamah tentukan termasuk kemungkinan mereka perlu kosongkan tanah diteroka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Wan Rosdy dilaporkan sebagai berkata, tiada lagi kompaun akan dikenakan sebaliknya individu yang dikesan terlibat aktiviti penerokaan tanah haram di Pahang akan terus didakwa di mahkamah.

Menteri Besar itu berkata, ia merupakan tindakan tegas dalam usaha mengekang aktiviti penerokaan tanah haram di negeri ini.

Beliau juga dilaporkan berkata, tindakan kompaun yang dikenakan sebelum ini dilihat tidak menakutkan golongan terbabit selain seolah-olah kerajaan negeri tidak serius.

Mengulas lanjut, Haslihelmy berkata, isu penerokaan tanah secara haram di negeri ini mengakibatkan kerajaan negeri tidak mendapat hasil yang sewajarnya untuk digunakan meningkatkan ekonomi domestik.

“Sesiapa yang mengusahakan tanah secara haram dan salah maka pihak terbabit tidak berhak memilikinya malah mesti menanggung kos mengosongkan tanah itu atau mengeluarkan barangan dari situ.

“Kerajaan negeri berhak menghalang dan menyekat daripada diusahakan tanah-tanah tertentu yang didapati diceroboh secara haram,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Pahang juga mempunyai hak menghukum pihak yang melanggar undang-undang tanah supaya menjadi pengajaran dan mengelakkan kerugian kepada negeri.

“PSAP menyokong penuh tindakan kerajaan negeri mengheret penceroboh tanah haram ke mahkamah. Kita harap ia menggerunkan pihak berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya