PETALING JAYA: Pelakon Puteri Sarah Liyana menegaskan, tindakan menggugurkan saman terhadap bekas madunya, Ira Kazar atas dakwaan mengganggu rumah tangganya dibuat atas sebab tertentu.
Puteri Sarah berkata, ada ketika dia perlu berkorban demi mencari jalan terbaik berhubung kemelut rumah tangganya sebelum ini.
“Sarah tahu ramai marah, tetapi Sarah perlu buat apa yang dirasakan betul.
“Orang luar mungkin tak faham dan tak tahu apa yang Sarah lalui. Biarlah Sarah dan keluarga tahu kita sudah lakukan yang terbaik dalam hidup.
“Sebelum ini ya, memang kita nak lawan. Namun, adakalanya kita perlu berkorban untuk mendapat kebaikan,” katanya ketika ditemui di sebuah acara di Jalan Sungai Penchala, di sini, semalam.
Pada 5 Julai lalu, kemelut antara Puteri Sarah dengan Ira berakhir selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur merekodkan penghakiman persetujuan kedua-dua pihak.
Untuk rekod, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira atas dakwaan mengganggu rumah tangganya, malah turut menamakans kakak bekas madunya, Yasmin dan bapa mereka, Kazar atau nama penuhnya Kazaruddin Saisi.
Kes itu sepatutnya mula dibicarakan pada Ogos ini.
Pada 14 Jun lalu, Puteri Sarah dan Syamsul Yusof sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – UTUSAN










