Aminuddin seloroh mahu satu jalan dinamakan sebagai 'Jalan Peja'

Aminuddin seloroh mahu satu jalan dinamakan sebagai ‘Jalan Peja’

AMINUDDIN dan Mohamad (tengah) pada majlis Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Negeri Sembilan di Seremban semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun secara berseloroh memberitahu mahu sebatang jalan di negeri ini dinamakan sebagai ‘Jalan Peja’.

Ia bersempena nama bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali sebagai Peja yang kini juga merupakan Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjelaskan, perkara itu selepas dakwanya pihak PN di negeri ini termasuk Ahmad Faizal menjadikan isu penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin oleh kerajaan negeri baru-baru ini sebagai bahan ceramah parti itu.

“Saya ingin melihat apa yang mahu dilakukan PN di negeri ini, apa isunya? isunya satu iaitu nama jalan sahaja, Jalan Dr. Chen Man Hin di Temiang, bukannya satu Temiang nama jalan ditukar, Temiang bypass masih Jalan Temiang lagi, sebahagiannya sahaja iaitu di kawasan majoriti penduduk Cina, 95 peratus penduduk Cina di kawasan tersebut, kita bagi.

“Macam-macam (nama) jalan ada, itu (nama) penjajah pun masih kita kekalkan, itu kita boleh beri, itu tokoh mereka, apa isunya? Esok saya mahu letak nama Jalan Peja, saya tengah cari jalan sesuai, beritahu dia, saya akan carikan jalan dan saya akan maklumkan.

“Masyarakat ada pemimpinnya, setiap mereka ada jasanya, (mendiang) Chen Man Hin ketika hidupnya telah bantu ramai orang, klinik percumanya, orang yang boleh menyatukan orang Melayu, Cina dan India, salah kah? apa yang tidak boleh diberikan kepadanya?” katanya.

Aminuddin berkata demikian sewaktu berucap pada majlis Jelajah Madani dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Amanah Negeri Sembilan di sini semalam.

Yang hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Kerajaan Negeri Sembilan baru-baru ini membuat keputusan penukaran nama Jalan Temiang kepada Jalan Dr. Chen Man Hin melibatkan jalan sepanjang 3.3 kilometer yang bermula dari persimpangan Jalan Tun Dr. Ismail sehingga bulatan susur keluar ke Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) di sini.

Ia sebagai menghargai sumbangan dan jasa mendiang bekas Ahli Parlimen Seremban dan pengasas DAP itu yang telah meninggal dunia pada 17 Ogos tahun lalu pada usia 98 tahun.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, keputusan kerajaan negeri untuk menukar nama jalan berkenaan adalah supaya generasi muda mengingati dan menghormati pemimpin-pemimpin mereka.

“Kita mahu letak (nama) pun kita tahu mahu letak di mana, dalam kalangan masyarakat mereka supaya anak cucu mereka ada pemimpin yang mereka boleh ingat dan hormat,” katanya yang juga penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN