Abu Talib: Akta Hasutan 1948 masih relevan

Abu Talib: Akta Hasutan 1948 masih relevan

ABU TALIB OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Hasutan 1948 masih relevan dan wajar dikekalkan asalkan pelaksanaannya mengikut tujuan asal untuk memelihara keamanan dan kestabilan tanah air.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, persoalan yang timbul ialah sejauh mana pelaksanaan dan pemakaiannya sehingga mengundang persoalan dan tanggapan rakyat mengenai pendakwaan terpilih.

Katanya, sesuatu undang-undang akan diyakini masyarakat sekiranya proses pelaksanaan yang bermula daripada siasatan sehingga pendakwaan dilakukan mengikut lunas undang-undang dan sejajar objektif akta berkenaan.

“Apa tujuan Akta Hasutan 1948 diwujudkan? Ia bermatlamat untuk menjaga keselamatan rakyat. Tetapi timbul persoalan adalah sejauh mana pemakaiannya ke arah itu, ini perlu ditambah baik. Jika tidak, ramai mempersoalkan sehingga timbul tanggapan pendakwaan terpilih dan berniat menjejaskan pihak-pihak tertentu

“Malaysia terlalu banyak undang-undang, sebut apa sahaja semua ada, tetapi yang jadi persoalan adalah sejauh pemakaian dan pelaksanaannya. Ini yang perlu diselesaikan oleh pengubal polisi (kerajaan),” katanya.

Kelmarin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kedudukan Raja-Raja Melayu tidak wajar dijadikan bahan dalam ucapan-ucapan dan perbahasan politik terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos ini.

Pengerusi PH itu berkata, meskipun beliau berpendirian mengelak daripada menggunakan Akta Hasutan dalam hal-hal berkaitan kempen politik, namun menegaskan kedudukan institusi Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan.

Bagaimanapun Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak bersetuju Akta Hasutan digunakan untuk menahan dan mendakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

Pengarah Pilihan Raya Pas itu berdepan dua pertuduhan di Mahkamah Sesyen Selayang di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Ketika ditanya sama ada Akta Hasutan perlu dikekal atau sebaliknya, Abu Talib berkata, perkara itu terserah kepada kerajaan selaku penggubal polisi sama ada ingin meneruskan atau memansuhkan, namun beliau masih berpandangan undang-undang itu bertujuan untuk memelihara keharmonian tanah air.

Beliau menambah, Jabatan Peguam Negara perlu kekal bebas dan tidak berpihak kepada mana-mana supaya peranan dan martabat agensi itu terus diyakini rakyat secara umumnya.

“Pendakwa raya perlulah bertindak adil dalam membuat pendakwaan agar tidak timbul tohmahan pendakwaan terpilih yang dibangkitkan sesetengah pihak,” katanya.

Dalam pada itu, pakar Perlembagaan dari Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berpandangan, takrifan Akta Hasutan 1948 yang terlalu longgar menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat perlu diperbetulkan oleh kerajaan.

Meskipun beliau berpandangan ia perlu dikekalkan, namun harus dijelaskan takrifan undang-undang berkenaan supaya rakyat memahami tujuan akta berkenaan wujudkan untuk mengekang anasir kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja atau kerajaan.

Namun paling penting katanya, pengukuhan jati diri rakyat Malaysia terhadap Perlembagaan Persekutuan termasuk berkenaan aspek institusi diraja dan agama Islam dan Melayu apabila dilihat masih belum difahami dengan baik dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Justeru itu, saya kekal pandangan bahawa Suruhanjaya Kedaulatan Negara perlu ditubuh untuk mengukuhkan dan menyebar luas kefahaman prinsip kedaulatan negara serta melaksanakan pemantauannya demi kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional berteraskan kerangka utama Perlembagaan Persekutuan.

“Prinsip kedaulatan negara merupakan kedaulatan undang-undang, justeru ia perlu dijunjung sebagai teras perpaduan nasional,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×