188,884 bumiputera tolak ke IPTA

188,884 bumiputera tolak ke IPTA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 188,884 atau 51 peratus pelajar bumiputera lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menolak tawaran kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam tempoh tiga tahun sejak 2020.

Mereka yang menolak peluang mendapat pendidikan tinggi itu adalah dalam kalangan 365,553 pelajar bumiputera yang ditawarkan tempat ke menara gading sepanjang tempoh tersebut.

Berdasarkan jawapan Kementerian Pendidikan Tinggi kepada Dewan Negara, seramai 36,910 lepasan SPM 2020 daripada bumiputera menolak tawaran ke IPTA dan jumlah itu meningkat kepada 78,543 pelajar (SPM 2021) dan 73,431 pelajar (SPM 2022).

Trend yang sama turut membabitkan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf termasuk pusat asasi apabila 15,920 pelajar bumiputera daripada 131,905 orang yang menerima tawaran menolak untuk menyambung pengajian ke menara gading.

Antara faktor yang mempengaruhi mereka bertindak sedemikian disebabkan masalah kewangan serta tidak mahu terikat dengan pinjaman pendidikan selain mahu bekerja kerana menjanjikan pendapatan lumayan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, hampir keseluruhan pelajar bumiputera bukannya tidak minat ke IPTA, sebaliknya berpunca akibat masalah kewangan lebih-lebih bagi menyara kehidupan di kampus kelak.

Katanya, lebih menyedihkan keadaan itu bukan sahaja melibatkan belia di pendalaman, sebaliknya dalam kalangan anak muda yang tinggal di bandar yang terhimpit dengan kos sara hidup tinggi.

Jelasnya, meskipun terdapat dalam kalangan mereka menerima pinjaman pendidikan, namun masih belum cukup kerana duit diterima hanya cukup untuk melunaskan yuran pengajian, namun tidak memadai untuk menanggung sewa rumah dan kos lain.

“Mereka masih lagi berdepan kekangan untuk membayar sewa dan keperluan harian seperti makan dan minum yang semakin tinggi khususnya kampus di kawasan bandar. Ada pelajar terpaksa ikat perut dengan masalah ini.

“Malah ada pemikiran mereka bahawa akademik tidak menjamin peluang pendapatan tinggi, lebih baik bekerja sebagai penghantar makanan berbanding jurutera yang menawarkan gaji rendah meskipun berhempas-pulas belajar selama empat tahun,” katanya.

Beliau mengulas jawapan Kementerian Pendidikan terhadap soalan Senator Hussin Ismail yang bertanyakan jumlah dan peratusan pelajar lepasan SPM, STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), matrikulasi dan asasi yang telah berjaya dan ditawarkan ke IPTA namun menolak tawaran tersebut mulai 2020 sehingga sekarang mengikut pecahan bangsa.

Justeru itu, Sahol Hamid mencadangkan kerajaan untuk menyediakan bantuan awal pengajian dan bantuan bulanan untuk pelajar kurang kemampuan khususnya B40 agar mereka tidak terbeban dengan peningkatan kos kewangan semasa.

Beliau kemudian berpandangan, sudah tiba masanya gaji para graduan disemak semula memandangkan jumlah terlalu menghalang minat untuk me­nimba ilmu setelah bakal dibebani pinjaman selepas keluar daripada IPT kelak.

“Jika perkara ini dapat diatasi, ini secara langsung dapat menarik minat lebih ramai lepasan SPM belajar memandangkan kewangan merupakan masalah utama membelenggu mereka selama ini,” katanya.

Bagi Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, kerajaan boleh membuka peluang kedua untuk lepasan SPM untuk menjalani kursus sijil termasuk bidang Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan tidak tertumpu memasuki ke menara gading sahaja.

Selain itu katanya, mereka yang terlepas peluang ke menara gading perlu menjalani kursus keusahawanan agar melatih mereka untuk menceburi peluang perniagaan sebagai cabang baharu peluang menjana pendapatan masing-masing.

Menerusi langkah itu jelas beliau, dapat membolehkan lepasan SPM yang tidak dapat menyambung pengajian ke IPT memasuki bidang-bidang lain di samping menjamin masa depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN