Warga asing tidak boleh beli RON95 bagi apa-apa tujuan

Warga asing tidak boleh beli RON95 bagi apa-apa tujuan

SALAHUDDIN Ayub bersama penerima Tokoh Guru dan Tokoh Kepimpinan sempena Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan & Pelancaran ITTVe - Learning Rahmah di White House Event Space, Kempas, Johor Bahru di sini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Warganegara asing tidak dibenarkan untuk membeli apa-apa bahan bersubsidi yang telah dikhususkan untuk rakyat negara ini termasuklah minyak petrol RON95.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, larangan pembelian bahan api itu melibatkan apa-apa tujuan sekalipun termasuklah bagi mengisi minyak kenderaan ‘go-kart’.

Katanya, perkara itu jelas kerana RON95 tertakluk di bawah Akta Kawalan Bekalan dan hanya untuk kegunaan rakyat Malaysia sahaja.

SERIUS

“Polisi kita jelas, warga asing tidak boleh beli barangan subsidi Malaysia, itu kesalahan serius. Saya akan minta penjelasan daripada pemilik stesen minyak itu kerana kerajaan bertegas bahawa RON95 tidak boleh dijual kepada warga asing.

“Berhubung kes tular melibatkan seorang warga Singapura mahu membeli bahan api itu, bukti rakaman CCTV menunjukkan dia tidak sempat membelinya. Alasan diberi iaitu untuk kegunaan kenderaan ‘go-kart’ juga tidak boleh diterima pakai.

“Kerajaan berpendirian tegas dalam isu ini, saya juga sedang menunggu laporan berhubung kejadian itu daripada KPDN Johor, sekiranya pemilik stesen melakukan kesalahan, mereka boleh didakwa mengikut undang-undang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan, Apresiasi Pendidikan dan Pelancaran ITTV e-Learning Rahmah di Kempas, di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin memberitahu, polis akan membuka kertas siasatan berhubung pertengkaran seorang penghantar makanan dan dua lelaki warganegara Singapura di sebuah stesen minyak di sini pada 16 Jun lalu.

Rahmat dilaporkan berkata, usaha mengesan dua lelaki warganegara Singapura berkenaan sedang dilakukan dengan bantuan polis Singapura (SPF).

Beliau turut memaklumkan siasatan awal pihaknya mendapati warga asing terbabit membuat pembelian minyak itu adalah untuk kegunaan kenderaan go-kart.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 1 minit 50 saat di media sosial menunjukkan pertengkaran antara kedua-dua pihak sehingga menimbul perdebatan dalam kalangan masyarakat tentang pembelian RON95 oleh warganegara asing.

PERLUAS

Sementara itu, Salahuddin turut memberitahu, KPDN turut merancang untuk memperluas projek stesen minyak tanpa subsidi di negeri sempadan termasuklah di Johor.

“Menerusi projek rintis stesen minyak tanpa subsidi yang telah dibuka di Padang Besar dan Wang Kelian, Perlis, kita berjaya menjimatkan hampir RM6 juta peruntukan subsidi minyak kerajaan.

“Kita juga sedang buat kajian dan meninjau di Johor ini yang bersempadan dengan Singapura, kalau ada tempat sesuai dibangunkan stesen minyak bagi menjual bahan bakar kita tanpa subsidi untuk kegunaan warga asing.

“Tujuannya adalah untuk mengelak atau mengurangkan aktiviti pembelian minyak subsidi seperti yang berlaku dalam kejadian tular berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya