Warga asing `kawal' ekonomi negara - Utusan Malaysia

Warga asing `kawal’ ekonomi negara

Ekonomi negara termasuk sektor pengeluaran makanan dan runcit semakin dikawal warga asing. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir semua sektor ekonomi berasaskan rangkaian bekalan dan pengeluaran makanan negara dikawal warga asing apabila kebanyakan majikan terpaksa bergantung sehingga 80 peratus kepada pekerja asing.

Perkara itu berterusan dan warga asing kini bukan hanya bekerja sebagai buruh tetapi semakin ramai berjaya mengusahakan kebun sayur sendiri dan mula menguasai sektor runcit untuk membekalkan barangan keperluan kepada penduduk sekitar.

Contoh, bagi sektor sawit, Malaysia yang membekalkan 39 peratus daripada seluruh bekalan minyak sawit dunia, memerlukan 80 peratus atau 400,000 warga asing daripada keseluruhan 500,000 tenaga kerja bagi menggerakkan industri itu.

Menurut laporan Organisasi Antarabangsa bagi Migran (IOM) di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berjudul The Cost of Hope: Stories of Migrant Workers in Palm Oil Plantations in Malaysia, sektor sawit yang menggunakan lebih 70 peratus daripada semua tanah pertanian seluruh negara iaitu sebanyaki 2.3 juta hektar kini diusahakan oleh 80 peratus warga asing.

“Pengeluaran minyak sawit menggunakan hampir setengah juta pekerja di Malaysia denga kira-kira 80 peratus adalah pendatang, terutamanya dari Indonesia, India, Nepal dan Bangladesh,” kata laporan tersebut.

Bagi sektor perikanan, Jabatan Perikanan dalam Jadual 2.5: Bilangan nelayan yang bekerja di atas vesel penangkapan ikan berlesen (1996-2021) melaporkan pada 2021, daripada 73,433 pekerja atas vesel di seluruh negara, 25 peratus atau 18,909 adalah pekerja asing.

PASAR BORONG

Lebih buruk dikesan dalam sektor pasar borong apabila difahamkan, hampir 70 peratus daripada semua rantaian bekalan bermula peringkat huluan, pertengahan sehingga hiliran di sebuah pasar borong terkemuka di Lembah Klang didominasi warga asing.

Pengerusi Persatuan Pendidik dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain berkata, nelayan-nelayan bot zon B, C dan C2 bergantung tinggi kepada pekerja asing terutama Vietnam sebagai pekerja sektor perikanan.

Menurut beliau, walaupun tawaran gaji sebagai tekong bot mencecah RM15,000 sebulan dan bergantung kepada hasil tangkapan ikan namun anak tempatan tidak minat.

“Orang kita lebih minat jadi nelayan pantai saja, pagi pergi ke laut kemudian tengah hari boleh balik rumah. Pendapatan nak dapat RM50 sehari pun susah, jadi sebulan bolehlah dapat RM1,500,” katanya.

Masalah sama dikesan menimpa industri ternakan ayam apabila pemilik ladang di Lembah Klang berdepan kesukaran mendapatkan pekerja tempatan melakukan kerja 3D untuk menjaga reban meskipun menawarkan gaji mencecah RM3,500 sebulan.

Pengerusi Pertubuhan Gerak Tani, Datuk Mazlan Aliman berkata, sektor perladangan dan pertanian negara kini didominasi 75 peratus warga asing.

“Bagi anak tempatan, pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan berat) adalah persepsi negatif mereka yang menyebabkan minat terhadap sektor ladang dan pertanian begitu rendah.

“Sehingga Oktober 2022, 14,000 pekerja asing dibawa masuk dan ini masih jauh dari kuota 200,000 yang diperlukan. Sektor ini terjejas teruk dengan kebergantungan pekerja asing di kala pekerja tempatan begitu kurang,” jelasnya.

DOMINASI

Sementara itu, satu sumber pengurusan sebuah pasar borong terkenal di Lembah Klang yang dihubungi mengakui, dominasi warga asing di pasar borong sukar dipecahkan kerana jumlah yang besar mencecah 75 peratus berbanding keseluruhan pekerja yang terlibat di seluruh rantaian termasuk hiliran, pertengahan dan huluan.

“Berdasarkan pemerhatian saya kita lihat nisbah warga asing kepada tempatan yang bekerja di pasar borong mencecah 70 warga asing kepada 30 warga tempatan,’” katanya.

Kata sumber, berdasarkan analisis, warga asing yang membanjiri pasar borong di Lembah Klang didapati terlibat seawal peringkat membekalkan barangan basah.

“Analisis saya mudah saja, cuba lihat daripada sumber bekalan bahan mentah, contohnya Utusan Malaysia sendiri membongkarkan bahawa bekalan sayuran ke Selangor diperoleh daripada kebun sayuran haram di Pulau Meranti, Puchong yang ditanam orang asing. Orang tempatan cuma digajikan untuk membawa sayuran itu ke pasar borong.

“Kemudian urus niaga di pasar borong seperti menguruskan tempahan pelanggan, itu orang asing. Yang memasarkan ke kedai runcit pun, orang asing, ada banyak kedai runcit dan kedai makan Acheh, Burma dan Bangladesh di seluruh Selangor. Jadi, di mana orang kita dalam rantaian itu,” kata sumber.

Seorang pengurus ladang ayam di Lembah Klang yang enggan identiti disiarkan berkata, ladangnya bergantung 70 peratus kepada tenaga kerja asing kerana warga tempatan tidak berminat selain tiada disiplin untuk menguruskan reban.

KOREK

“Orang kita tak mahu terlibat kerja sebegitu. Di ladang, ini termasuk kerja seperti korek tahi ayam, mencuci reban, menjaga generator dan kawalan keselamatan di ladang.

“Orang Malaysia tiada disiplin dan stamina untuk duduk lama dalam reban. Tapi warga asing sebaliknya. Ladang kami mengeluarkan 46,000 ekor ayam satu pusingan, yang memerlukan enam pekerja. Daripada jumlah itu, cuma dua orang pekerja tempatan manakala empat orang warga Indonesia,” kata sumber.

Menjelaskan lanjut, sumber berkata ladangnya menawarkan gaji asas RM1,700 dan insentif serta komisen mencecah RM1,500 yang keseluruhan mencecah RM3,200 bagi kerja-kerja di ladang namun masih tidak mendapat sambutan pekerja tempatan.

“Warga tempatan ada yang pegang kepada prinsip kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tak mahu memajukan majikan sedangkan kalau ladang ayam yang mereka kerja itu maju, mereka sebenarnya memajukan prospek kerjaya diri sendiri,” katanya.

Industri peruncitan juga tidak terlepas daripada penangan kekurangan sambutan pekerja tempatan terutama belia, mengakibatkan kebergantungan tinggi kepada sumber tenaga asing.

PASAR RAYA

Presiden Persatuan Peruncit Bumiputera (BRO), Datuk Ameer Ali Mydin berkata, setakat 2023 sektor runcitan termasuk di rangkaian pasar raya Mydin memerlukan 25 peratus tenaga kerja warga asing.

Namun jelasnya, terdapat beberapa subsektor peruncitan sangat bergantung kepada kumpulan tersebut kerana penyertaan yang sangat kurang oleh warga tempatan khususnya di gudang, stor serta bilik sejuk.

“Sektor runcitan tidaklah terlalu bergantung kepada warga asing berbanding sektor lain seperti pertanian, pembinaan atau pengeluaran di kilang-kilang. Bagaimanapun, sesetengah sektor runcit seperti restoran atau pasar raya terutama di stor, ia sangat memerlukan pekerja asing.

“Dalam soal pasar raya, warga asing mendominasi kira-kira 25 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja. Ini jumlah yang diperlukan untuk bekerja di gudang, stor dan bilik sejuk.

“Ia melibatkan kerja-kerja penyusunan, pemunggahan, pembungkusan serta kerja-kerja di ruang sejuk seperti potong ayam, potong ikan dan membersihkan sayur-sayuran. Memang dalam aspek ini susah dapatkan pekerja tempatan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN