PETALING JAYA: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyenarai pendek enam kursus bagi pengurangan tempoh pengajian kepada tiga tahun bermula semester baharu Oktober ini.
Enam kursus tersebut pengajian peringkat sarjana muda dengan kepujian membabitkan bidang Teknologi Maklumat, Sains Komputer (Pengkomuteran Multimedia), Sains Komputer (Kejuteraan Perisian), Sains Komputer (Keselamatan Maklumat), Sains Komputer (Teknologi Web) dan Sains (Statistik Industri).
Difahamkan, Kementerian Pengajian juga akan membawa cadangan itu kepada Kabinet bagi membolehkan tempoh pengajian di universiti-universiti boleh dipendekkan dari empat tahun kepada tiga tahun.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, pemendekan tempoh pengajian tersebut membuka peluang kepada mahasiswa untuk memasuki pasaran kerja lebih awal berbanding sebelum ini.
Oleh itu, menurut beliau, UTHM mengambil keputusan untuk mengurangkan tempoh pengajian bagi enam bidang pengajian tersebut atas nasihat pihak industri bermula tahun ini.
INDUSTRI
“Pasukan program UTHM telah mendapatkan maklum balas daripada pihak industri. Mereka mencadangkan kursus tertentu di UTHM dipendekkan tempoh pengajian bagi memenuhi kekosongan dalam industri,” kata beliau semalam.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, selagi mana pemendekan tahun pengajian tersebut mematuhi jumlah jam pengajian maka tidak ada masalah untuk mana-mana universiti memendekkan tempoh pengajian.
Mengulas lanjut, Ruzairi berkata, pemendekan tempoh pengajian adalah usaha baik kerana secara tidak langsung membantu mengurangkan kos pembelajaran dan kos sara hidup mahasiswa.
Menurut beliau, UTHM telah menyenarai pendek enam kursus di universiti itu yang akan berlaku pengurangan tempoh pengajian bermula semester baharu pada Oktober akan datang.
“Enam kursus tersebut ialah pengajian Sarjana Muda Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Sains Komputer (Pengkomuteran Multimedia), Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuteraan Perisian), Sarjana Muda Sains Komputer (Keselamatan Maklumat), Sarjana Muda Sains Komputer (Teknologi Web) dan Sarjana Muda Sains (Statistik Industri).
“Kursus tersebut diakreditasi di bawah MQA dan hanya memerlukan tiga tahun pengajian dengan minimum jumlah kredit (120) sebelum bergraduasi,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Ekhwan Toriman berkata, pemendekkan tempohan pengajian di pusat-pusat pengajian tinggi boleh mengurangkan bebanan kos pengajian yang ditanggung pelajar sepanjang pembelajaran mereka.
INSANIAH
Bagaimanapun, menurut beliau, adalah penting bagi universiti memastikan mahasiswa mempunyai kemahiran insaniah secara holistik sebagai persiapan sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
“UKM telah menjalankan Ekspo Kerjaya dan Keusahawanan yang mana kita memberi peluang kepada mahasiswa untuk melihat dan berinteraksi secara langsung bersama pemain industri dan mahasiswa juga diberi pendedahan terhadap proses temu duga pekerjaan.
“Kesemua ini adalah penting bagi memastikan mahasiswa mendapat gambaran sebenar sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan,” katanya
Ekhwan berkata, UKM akan meneruskan opsyen untuk memendekkan tempoh program pengajian dari empat tahun kepada tiga tahun melalui penawaran program secara modular dan melalui mod tri-mester.
“Ia selari seperti syor Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini, penilaian secara berterusan akan dilakukan kepada program-program sedia ada.
“Bagaimanapun, 16 program pengajian di UKM melibatkan sebanyak tiga fakulti iaitu Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina serta Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan dijalankan tiga tahun.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengenal pasti 44 program pengajian di sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk dipendekkan tempoh pengajian daripada empat tahun kepada tiga tahun,” kata beliau.
Baru-baru ini, Khaled Nordin berkata, pemendekan tempoh pembelajaran itu akan dapat membantu mengurangkan jumlah pinjaman atau kos pengajian yang perlu ditanggung oleh pelajar.
Khaled berkata, langkah berkenaan adalah usaha berterusan KPT dalam mengemas kini dan menyusun program dan jurusan yang ditawarkan oleh IPT di seluruh negara dengan cara terbaik serta menguntungkan semua pihak.- UTUSAN










