USIM lancar nombor plat khas 'UN', sasar bidaan cecah RM4j - Utusan Malaysia

USIM lancar nombor plat khas ‘UN’, sasar bidaan cecah RM4j

ZULKIFLI Mohamad Al-Bakri (tengah) dan Sharifudin Md. Sharaani (empat dari kanan) bersama Hanif Yusabra Yusuf (tiga dari kiri) pada Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas USIM ‘UN’ di Bangunan Canselori, USIM, Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyasarkan penjualan nombor pendaftaran kenderaan khas ‘UN’ dengan bidaannya yang bermula esok hingga 25 Jun ini akan mencecah nilai jualan RM4 juta.

Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Ts. Sharifudin Md. Sharaani berkata, ia apabila nombor plat khas USIM ‘UN’ itu dilancarkan hari ini selepas kelulusan penggunaan nombor pendaftaran khas kenderaan itu telah dikeluarkan dan diberikan kepada USIM pada 20 Mac lalu.

“Sasaran bidaan nombor plat kenderaan UN ini adalah sebanyak RM4 juta. Ia akan dimanfaatkan dengan tujuan menjana pendapatan untuk membantu pelajar termasuk pemberian biasiswa, mobiliti pelajar, penambahbaikan kualiti penyelidikan dan pembangunan universiti. 

“Bidaan plat kenderaan berbeza mengikut nombor bermula daripada RM1,500 hingga RM800,000 bagi plat UN 1 hingga UN 9999 yang akan dibuka bermula esok sehingga 25 Jun pada pukul 12 tengah hari,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Nombor Plat Khas USIM ‘UN’ di Bangunan Canselori, USIM di Nilai di sini hari ini. 

Yang hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti USIM, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf.

Sharifudin ketika berucap sebelum itu berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Mei 2018 sebelum ini telah bersetuju bahawa penggunaan nama universiti awam melalui nombor pendaftaran khas boleh digunakan sebagai salah satu sumber penjanaan kepada universiti.

“Sehubungan itu, USIM turut tidak ketinggalan mengambil inisiatif tersebut dengan mewujudkan nombor pendaftaran khas siri USIM ‘UN’ sebagai salah satu usaha dalam mengurangkan kebergantungan pendapatan universiti kepada geran kerajaan.

“Pemilikan nombor pendaftaran khas yang bermula dengan abjad ‘UN’ dan diikuti dengan rangkaian nombor pilihan secara eksklusif ini akan dilaksanakan secara bidaan yang akan dikendalikan oleh USIM Tijarah Holdings Sdn. Bhd.,” katanya.

Kombinasi kedua-dua huruf UN ini diambil bagi mewakili huruf ‘U’ yang merupakan awalan perkataan USIM manakala ‘N’ merupakan nombor pendaftaran kenderaan rasmi bagi Negeri Sembilan. 

Bagi mereka yang berminat melayari laman web www.unplat.com.my bagi melakukan pembidaan nombor pendaftaran UN ini. –UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya