UMNO hanya parti tua, tak gah, dominan jika tiada reformasi

UMNO hanya parti tua, tak gah, dominan jika tiada reformasi

UMNO
HASNI MOHAMMAD menyertai forum 'Governing in the Shadow of UMNO’s Long Rule: Anwar Ibrahim’s Formula and Prospects for Reform' anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO tidak akan berjaya menarik sokongan pengundi, khususnya dalam kalangan generasi muda sekiranya reformasi dalaman parti tidak dilakukan secara bersungguh-sungguh.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata, UMNO kini dilihat sebagai sebuah parti politik tua dan tidak lagi parti gah serta dominan bagi orang Melayu.

Justeru, sekiranya kepimpinan parti masih lagi gagal memberikan penjelasan tentang kedudukan dan hala tuju parti, sukar bagi UMNO mendapatkan semula kepercayaan orang Melayu pada masa depan.

“UMNO dikenali sebagai ‘grand old party’ Malaysia, khususnya untuk orang Melayu. Tetapi saya berpendapat kini UMNO bukan lagi ‘grand’ sebaliknya sebuah parti ‘tua’ jika terus berhalusinasi dalam reformasi dan gagal memberi penjelasan bagi meningkatkan keyakinan, menyebabkannya sukar mendapat semula kepercayaan orang Melayu pada masa depan.

“Dalam mereformasikan UMNO dan Barisan Nasional (BN), rakyat mesti melihat adanya harapan dalam kepimpinan. Kebebasan bersuara dan kebenaran memberi kritikan membina perlu dilihat sebagai sumber kekuatan dan bukannya tanda ancaman atau kelemahan,” katanya selepas menyertai forum ‘Governing in the Shadow of UMNO’s Long Rule: Anwar Ibrahim’s Formula and Prospects for Reform’ anjuran Institut ISEAS-Yusof Ishak, Singapura, hari ini.

Hasni yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor percaya UMNO dan BN perlu terus menyokong kestabilan kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terutamanya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Walaupun sekiranya UMNO tidak memperoleh kemenangan besar dalam PRN, kerajaan perpaduan tidak seharusnya dilihat berada di bawah ancaman ketidakstabilan. Sebaliknya, kepimpinan UMNO yang akan berdepan dengan kritikan ekoran prestasi berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Johor berkenaan turut memberitahu, kerajaan perpaduan terlepas peluang kerana konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan tidak dilengkapi dengan solusi bagi pelbagai isu ekonomi ketika ini.

“Perdana Menteri juga harus bertindak sebagai ‘penstabil’ kepada sebarang masalah yang boleh menggugat kestabilan kerajaan pada masa ini. Pada masa sama, peranan institusi diraja, khususnya Yang di-Pertuan Agong akan sentiasa diperlukan untuk memastikan kestabilan dalam realiti politik baharu Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×