IPOH: Biarpun memiliki kerjaya impian di sebuah stesen radio terkemuka, wanita bernama K. Vijaya Thaamarrai, 33, ini sanggup meninggalkannya demi mengembangkan empayar perniagaan keluarga.

Lahir sebagai generasi ketiga perusahaan kacang putih di Buntong, ibu kepada seorang cahaya mata ini nekad kembali ke Ipoh selepas melihat potensi besar perniagaan itu.
“Pada mulanya, tiada keinginan pun untuk ambil alih perniagaan keluarga kerana saya sendiri telah pun ada kerjaya impian sebagai ‘orang media’.
“Tetapi, lama-kelamaan ada satu perasaan tidak tenteram, seperti ada sesuatu yang tidak lengkap. Kebetulan, ketika bekerja di radio, saya berjumpa ramai usahawan untuk ditemubual dan rata-rata mereka sangat hebat.
“Ketika itulah baru saya sedar yang saya sendiri datang daripada keluarga yang memiliki perniagaan dan kenapa saya tidak boleh jadi seperti mereka. Ia ibarat tamparan untuk saya,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini semalam.
Menurut Vijaya yang juga pengasas Syarikat Leo Snack and Nuts Industry itu, dia kembali ke Ipoh pada tahun 2018 dan cabarannya dalam dunia perniagaan bermula ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Ketika itu katanya, selain jualan secara dalam talian, dia juga cuba memikirkan konsep berbeza bagi jualan kacang putih dan muruku iaitu dengan membuat pembungkusan semula mengikut cita rasa pelanggan.
“Saya cuba berfikir di luar kotak dan mengikut trend dengan menyediakan muruku sebagai ‘goodies’. Saya beruntung kerana mempunyai komuniti yang kuat untuk membantu dari segi pengeluaran.
“Ketika itu, sambutan yang diterima cukup menggalakkan di mana saya menerima banyak tempahan daripada kerajaan negeri dan agensi kerajaan selain orang perseorangan terutama pada sambutan hari raya,” katanya.
Vijaya memberitahu, perniagaannya kian berkembang selepas mengikuti program di bawah kendalian Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) melalui inisiatif Perak Sejahtera 2030 yang menawarkan peluang untuk terlibat ekspo sama ada di dalam mahupun luar negara.
Malah, katanya, peluang menyertai Malaysia Fest 2022 di Singapura melalui produk Beeqeh membuka matanya terhadap potensi muruku untuk pergi lebih jauh.
“Bayangkan, dalam masa dua hari saja, lebih 2,000 bekas Beeqeh terjual. Ini sesuatu yang memberangsangkan bagi produk berasaskan muruku untuk diterima di pasaran luar.
“Selepas menyertai ekspo itu, saya mula memikirkan strategi baharu iaitu dengan menyediakan muruku di dalam bekas ala ‘Pringles’. Konsep terbaharu itu diterima baik dan laris dijual melalui media sosial,” katanya.
Tambahnya, dia meletak sasaran untuk melihat Beeqeh yang disediakan dengan empat pilihan iaitu ‘jumbo mix, pakoda, muruku mixer dan sival’ berada di rak pasar raya mahupun stesen minyak.-UTUSAN










