Tindakan pantas dua beradik selamatkan nenek lumpuh dari terbakar - Utusan Malaysia

Tindakan pantas dua beradik selamatkan nenek lumpuh dari terbakar

SEBUAH rumah musnah kira-kira 70 peratus dalam kejadian kebakaran di Kampung Tanah Rom di Jerantut, Pahang. - FOTO IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Tindakan pantas dua beradik Nurul Shahida Razahar, 25, dan Nurul Nasuha, 30, mendukung nenek mereka yang lumpuh ke tempat selamat menyelamatkan warga emas itu dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Tanah Rom kira- kira pukul 2.03 petang ini.

Menurut Nurul Shahida, neneknya, Bedah@Zabedah Itam, 84, yang lumpuh seluruh badan sejak lima tahun lalu berada dalam bilik semasa kejadian.

“Kami ahli keluarga yang lain ketika kejadian sedang berehat di ruang tamu dan tiba-tiba terhidu bau asap dari bilik tengah. Apabila menjengah ke bilik tersebut, kami begitu terkejut apabila terdapat percikan api yang merebak dengan pantas.

“Saya dan kakak segera menyelamatkan nenek manakala ayah, Razahar Basir, 59, dan emak Jafidzah Ja’afar, 54, diminta menyelamat diri dengan membawa dua anak saudara.

“Kami tidak sempat menyelamatkan dokumen penting seperti surat beranak, geran tanah dan lain-lain seperti pakaian, perabot kerana kebakaran terlalu pantas,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Kerosakan rumah terbabit dianggarkan lebih 70 peratus membabitkan ruang tengah, dapur dengan anggaran kerugian kira-kira RM50,000.

Nurul Shahida berkata, dia sekeluaga bersyukur kerana tidak melibatkan kecederaan dan nyawa walaupun nenek begitu terkejut dengan kejadian tidak disangka itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Raja Mohd. Arif Raja Samsudin berkata, kebakaran tersebut melibatkan rumah jenis kekal berukuran 20 kaki x 40 kaki.

“Pasukan bomba dengan kekuatan 14 anggota membuat operasi pemadaman dengan menggunakan dua aliran hos salur bantu mula air tangki pam jentera bomba dan mendapat bantuan air dari jentera water tanker,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya