Pengusaha nasi dagang tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Pengusaha nasi dagang tinggal sehelai sepinggang

KEADAAN rumah didiami tiga beranak pengusaha nasi dagang yang terbakar di Kampung Bukit Besar, Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Tiga beranak yang merupakan pengusaha nasi dagang tinggal sehelai sepinggang apabila rumah didiami di Kampung Bukit Besar di sini, musnah dijilat api, semalam.

Sakinah Yusof, 34, berkata, kediaman diduduki dua abang serta ibunya, Zainab Abdullah, 72, terbakar kira-kira pukul 5.25 petang mengakibatkan persiapan Aidilfitri mereka musnah.

Menurut Sakinah, lebih memilukan apabila pelbagai kelengkapan dan bahan menyiapkan tempahan nasi dagang sempena hari raya turut terjejas dalam kejadian berkenaan.

Ujarnya, ketika kejadian dia sedang berniaga di kedai yang terletak tidak jauh dari lokasi sebelum seorang pelanggan memberitahu rumah ibunya dijilat api menyebabkan dia segera pulang.

“Sebaik tiba, saya lihat ibu sudah terduduk di luar rumah dalam keadaan terkejut dan panik manakala abang cuba memadamkan api menggunakan alat pemadam api, namun api terlalu marak.

“Rumah ini menjadi tempat menyediakan juadah nasi dagang untuk berniaga selain lokasi berkumpul ahli keluarga setiap kali Aidilfitri, jadi kejadian ini sangat mengejutkan kami sekeluarga.

“Walaupun buntu bagaimana menyiapkan tempahan nasi dagang sempena hari raya tetapi saya bersyukur tiada kemalangan jiwa kerana semua sempat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menurut Sakinah lagi, ibu serta dua abangnya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting setelah kejadian berlaku terlalu pantas sehingga tercetus beberapa letupan kecil.

“Ini adalah ujian besar buat keluarga kami dengan hanya beberapa hari menjelang 1 Syawal, namun saya reda dan lega semua ahli keluarga tidak mengalami kecederaan,” tambahnya.

Sementara itu Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Ismail Abdul Wahab, berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam bagi mengawal kebakaran.

Menurut beliau, struktur rumah dua tingkat itu hangus 80 peratus dengan 14 anggota dari BBP Kuala Terengganu dan Jalan Kota dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.30 petang.

“Kerja-kerja memadam api agak tergendala kerana kesukaran mendapatkan punca air sebelum api dipadam sepenuhnya kira-kira 7.20 malam dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN