Tak sangka dilanda bah ketika cuaca panas - Utusan Malaysia

Tak sangka dilanda bah ketika cuaca panas

Tuah Iskandar Abdul Rasid, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gelang Patah menjemur buku sekolahnya yang basah akibat ditenggelami banjir melanda Kampung Baru Muafakat Gelang Patah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Ketika ramai mengeluh cuaca panas, tanpa disangka kira-kira 200 rumah penduduk di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah dan Taman Syed Mohd. Idrus di sini dilanda banjir.

Banyak rumah dimasuki air selepas hujan lebat kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi semalam.

Seorang peniaga makanan Neetu Shaffie, 41, di Kampung Baru Muafakat berkata, akibat hujan lebat rumahnya dimasuki air menyebabkan pekakas memasak dan barang jualan rosak.

“Melihat kepada barang yang ditenggelami air, saya rugi dalam RM5,000” kata wanita itu yang menjual keropok lekor, popia satar dan makanan sejuk beku.

Akibat kejadian itu, Neetu berkata, dia, suami dan anak-anak terpaksa mengemas rumah yang kotor dan membuang peralatan rumah yang rosak.

“Mungkin mengambil masa tiga hari baru boleh membuat keropok lekor dan popia satar, bergantung dengan mesin pengisar tepung yang masih dibaiki,” katanya.

Menceritakan semula banjir tersebut, Neetu berkata, mereka sekeluarga tidak menyangka berlaku banjir ketika cuaca di sini setiasa panas.

Ketika kejadian, dia dan lapan ahli keluarganya termasuk bayi yang berumur lapan bulan dan dua tahun bergegas keluar rumah sebaik air mulai mencecah paras pinggang.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rasid Sudin, 46, berkata, ketika kejadian, hanya dia seorang diri di rumah, manakala isterinya bekerja manakala berada di sekolah.

“Masa hujan lebat saya rasa tak sedap hati, terus pindahkan apa yang penting terlebih dahulu ke tempat tinggi dan ketika itu belum banjir lagi.

“Tapi tiba-tiba air deras datang mencurah masuk ke dalam rumah sehingga tak sempat untuk diselamatkan peralatan lain termasuk motosikal saya,” katanya dengan memberitahu pakaian, perabot dan buku sekolah rosak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN