PETALING JAYA: “Syukur ke hadrat Allah SWT yang melimpahkan rezekinya kepada saya dan keluarga.”
Itu antara komen Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid mengulas pelantikan sebagai Ketua Polis Negara ke-14 berkuat kuasa esok sehingga 22 Jun 2025.
Razarudin ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, rezeki dilantik ke jawatan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah daripada Allah.
“Syukur ke hadrat Allah SWT yang melimpahkan rezekinya kepada saya dan keluarga.
“Semoga rezeki Allah ini mendapat barakah untuk dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau menggantikan Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang tamat perkhidmatannya esok.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan Razarudin secara kontrak selepas persaraannya, selama dua tahun.
“Sepanjang perkhidmatan Razarudin dalam pasukan polis, beliau berpengalaman menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen,” katanya dalam kenyataan semalam.
Razarudin yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Kepolisan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan karier pada tahun 1984 di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah sebagai pegawai penyiasat.
Jawatan lain yang pernah disandang ialah Penolong Pengarah D9, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman; Timbalan Komander Pasukan Tugas Khas Melawan Jenayah Terancang (STAFOC), Skuad Taktikal Khas 1 (Jenayah) Bukit Aman; Ketua JSJ Pulau Pinang, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah.
Beliau kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Perak selama dua tahun sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Perak seterusnya menjadi Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman selama setahun serta Timbalan Ketua Polis Negara mulai tahun 2021 sehingga kini.
Sementara itu, Saifuddin dalam kenyataan berasingan turut mengumumkan pelantikan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa mulai esok.

Ayob Khan, 57, berkelulusan Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah menjawat pelbagai jawatan di peringkat negeri dan kontinjen.
Beliau memulakan tugas pada 1993 di Cawangan Khas Bukit Aman sebagai Penolong Penguasa Polis (ASP) sehingga ke Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) selama 15 tahun.
Selain itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Ketua Polis Johor dan Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) dan ditempatkan di Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Jabatan Pengurusan Bukit Aman. – UTUSAN










