Suntikan vaksin elak jangkitan paru-paru

Suntikan vaksin elak jangkitan paru-paru

SYED Saleh Syed Abdul Rahman (tengah) beramah mesra dengan salah seorang jemaah yang tiba di Mekah di Hotel Al Fajer Al Badia, Mekah semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Tabung Haji (TH) mengesahkan terdapat 29 atau 0.2 peratus daripada 13,000 jemaah yang berada di Tanah Suci ketika ini ditempatkan di pusat rawatan akibat sakit termasuk menghidap radang paru-paru.

Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, daripada jumlah itu, 23 berada di Mekah manakala bakinya di Madinah.

Katanya, jemaah yang terke­na radang paru-paru adalah seramai 11 orang dan memadai hanya mengambil antibiotik kerana ia tidak terlalu serius.

“Ia bukan perkara yang perlu digusarkan kerana ia dikawal baik oleh pihak perubatan dan mereka berada dalam keadaan stabil selain tidak perlukan rawatan lanjut.

“TH dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat mengenai kesihatan jemaah sebelum berangkat ke Tanah Suci termasuk me­nyarankan mereka mendapatkan suntikan vaksin tambahan bagi meningkatkan ketahanan diri terutama ketika cuaca panas dan berdebu,” katanya.

Terdahulu, Syed Saleh meraikan ketibaan pertama 279 jemaah dengan penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Hotel Al Fajer Al Badia di sini.

Semalam tular di aplikasi WhatsApp mengenai ramai jemaah haji memenuhi wad di pusat rawatan disebabkan pneumonia dengan hampir kesemua mereka tidak mengambil vaksin Pneumococcal dan Influenza.

Menurut Syed Saleh, tiga jemaah ditempatkan di hospital Arab Saudi kerana mengalami sakit jantung, jangkitan kulit dan paru-paru.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut sedang dijalankan terhadap pesakit radang paru-paru sama ada mereka mengambil suntikan vaksin tambahan tetapi semakan di dalam buku rawatan menunjukkan ada yang berbuat demikian dan ada yang tidak.

“Suntikan meningitis adalah diwajibkan manakala Pneumococcal dan Influenza amat digalakkan. Kepentingan suntikan kerap kali ditekankan ketika kursus asas haji dan jemaah faham mengenainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN